Sunday 12 April 2015

Kembar benci ulang cerita lama

Nurbadrishahs (kanan) dan adiknya, Nurbahiyah belajar di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Chuping.

Antara gambar yang masih disimpan sebelum dan selepas kembar ini melakukan pembedahan.

Norhisyam bersama isteri dan tiga anaknya.

PADANG BESAR - Sepasang kembar siam yang pernah mendapat perhatian meluas dari media cetak dan elektronik lapan tahun lalu tidak mahu dianggap sebagai insan istimewa.

Ibu pasangan kembar, Nurbadrishahs dan Nurbahiyah Norhisyam, Sopiah Daud, 38, berkata, kedua-dua anaknya itu tidak mahu kisah mereka pernah melekat antara satu sama lain diungkit.

"Kalau tengok gambar mereka masa bersambung dulu, mereka tak mahu tunjukkan sebarang reaksi walaupun mereka tahu itu adalah mereka. Mereka juga tak mahu saya ceritakan kisah mereka dahulu.

"Bila tengok televisyen kisah orang kurang upaya mahupun kembar siam, mereka akan berasa kasihan dan berhasrat mahu membantu golongan sedemikian.

Mereka juga bercita-cita menjadi doktor satu hari nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semadong, dekat sini.

Ada masalah tulang belakang

Menceritakan kembali kisah anak kembarnya itu, kedua-dua mereka dilahirkan dengan berat 4.2 kilogram pada 10.33 pagi menerusi pembedahan selama 25 minit di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 22 September 2007.

"Mereka dilahirkan dalam keadaan bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung, namun masing-masing memiliki sepasang kaki serta tangan.

"Pada usia lima bulan, mereka kemudiannya berjaya dipisahkan oleh sepasukan pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2 Februari 2008," katanya.

Sopiah berkata, melihat bentuk fizikal kedua-dua anaknya itu, mereka kelihatan normal, namun jika diamati Nurbadrishahs lebih tinggi manakala adiknya Nurbahiyah lebih rendah kerana mempunyai masalah tulang belakang.

"Bila pulang dari sekolah, Nurbahiyah selalu mengadu sakit belakang. Pihak hospital ada sediakan pakaian khas bagi mengimbangi bahagian tulang badannya tapi dia tak mahu pakai sebab panas.

"Sekarang pihak hospital dalam proses nak buat pakaian khas yang baharu dengan kos melebihi RM2,000. Jika keadaan makin serius, Nurbahiyah mungkin akan dibedah bagi membetulkan tulangnya," katanya.

Katanya, kedua-dua anaknya itu meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain, malah mereka kadang-kala terlupa pinggang mereka terlekat beg khusus untuk mengumpulkan najis berikutan mereka tidak dikurniakan lubang dubur.

Hidup bersederhana

Sopiah berkata, anak kembarnya itu sering bergaduh, namun mereka sangat serasi dan menjaga antara satu sama lain apabila berada di sekolah.

Ketika Sinar Harian bertanyakan beberapa soalan kepada mereka, kedua-duanya hanya membisu namun sangat suka bergambar.

Anak keempat dan kelima daripada enam beradik ini dibesarkan dengan kehidupan sederhana apabila bapa mereka, Norhisyam Mohamad, 38, hanya bekerja kilang dengan gaji kira-kira RM900 sebulan.

Norhisyam berkata, bagi menyara anak-anaknya, dia juga terpaksa membuat kerja kampung dengan mengambil upah memotong rumput ataupun membawa jentera bajak bagi menambah pendapatan.

"Empat orang anak saya termasuk Nurbadrishahs dan Nurbahiyah masih bersekolah. Saya perlu pastikan mereka dapat sambung pengajian ke peringkat tertinggi supaya mereka dapat berdikari apabila besar nanti. 

"Mujurlah kos perubatan dan beg khas yang digunakan setiap hari ditanggung oleh pihak hospital dan Yayasan Penyayang Pulau Pinang," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment