Tuesday, 17 March 2015

Mangsa sempat hubungi isteri

  • Mangsa sempat hubungi isteri
  • Mayat mangsa diusung masuk kenderaan polis untuk dibawa ke hospital.

NILAI - Seorang lelaki sempat menghubungi isterinya memberitahu dia mahu berhenti rehat seketika kerana sakit kepala, sebelum ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan pacuan empat roda di Dataran Nilai, di sini, malam kelmarin.

Nor Azham Ismail, 54, disahkan meninggal dunia kira-kira 10.20 malam akibat penyakit kencing manis dan strok dihidapi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat di Dengkil, Selangor memberhentikan kenderaan jenis Ford di Dataran Nilai kerana mahu berehat.

“Menurut isterinya, mangsa ada telefon pada jam 7.30 malam, beritahu mahu berhenti rehat kerana mengadu sakit kepala.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis," katanya di sini, semalam.

Abdullah berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah, sementara kematiannya disahkan Pembantu Perubatan dari Klinik Nilai.

Berikutan itu, katanya, kes diklafisikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat.

"Jenazah mangsa juga telah diserahkan kepada isterinya dan dikebumikan di tanah perkuburan di Bagan Lalang, Selangor," katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Azmi Hamid berkata, sebuah jentera membabitkan tujuh pegawai dan anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Sebaik tiba, kereta mangsa berada dalam keadaan berkunci.

“Bomba terpaksa memecahkan cermin pintu belakang kereta dan mengambil masa 50 minit untuk mengeluarkan mangsa yang sudah pun tidak sedarkan diri,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment