JEMPOL- “Mujur ayah sempat mengelak ke kiri jalan. Jika tidak pasti kecederaannya lebih teruk,” kata Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeveen.
Sanjeveen berkata, ketika kejadian bapanya, P Ramakrishnan, 65, dalam perjalanan dari Serting menghala ke rumahnya di Kampung Taman Jaya, di sini.
“Ayah memandu sendirian, manakala abang saya mengekori dari belakang dengan kereta lain.
“Apabila sampai di lokasi sekitar 12.30 tengah hari, tiba-tiba sebuah lori dipercayai membawa muatan pasir meluncur laju ke hadapan yang mana ketika itu kereta ayah berada di hadapan lori tersebut.
“Dalam masa sama, terdapat pula lori lain di hadapan kereta ayah. Kereta ayah berada di tengah-tengah antara dua lori,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Sanjeveen berkata, ayahnya cuba mengelak kenderaannya ke kiri jalan namun bahagian belakang tetap kena rempuh.
“Bagaimanapun, ayah sempat mengelak. Akibatnya kereta dipandunya tercampak ke dalam longkang,” katanya.
Beliau berkata, ayahnya mengalami kecederaan dileher dan kepala kerana terhantuk dekat cermin kereta.
“Ayah dirawat di Hospital Jempol namun akan ke Pantai Medical Center, Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian.
Sinar Harian difahamkan kejadian di kilometer 1 , jalan Bahau- Kemayan itu membabitkan dua buah lori muatan pasir serta tiga buah kereta jenis Proton Iriz, Toyota Vios serta Mercedes dan mangsa mengalami cedera ringan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau PBK II, A Gonaselan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.42 tengah hari bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan enam anggota.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment