Saturday 21 February 2015

Topeng Seribu Wajah

  • Topeng Seribu Wajah

  • Topeng Seribu Wajah

FALSAFAH di sebalik topeng menjadikan ianya sesuatu misteri kerana pelbagai tafsiran boleh diberi mengikut kepercayaan masyarakat yang mengamalkannya.

Topeng mempunyai kemampuan menunjukkan pelbagai emosi sebagaimana wajah manusia, sama ada kedamaian, kesengsaraan, kegembiraan dan sebagainya.

Topeng dengan telinga besar digambarkan sebagai pendengar yang baik, topeng dengan mulut terbuka memberikan makna kerakusan atau bijak berkata-kata, manakala topeng dengan pipi penuh pula digambarkan sebagai kerakusan atau kekayaan.

Setiap perwatakan topeng mempunyai falsafahnya tersendiri.

Penggunaan topeng sememangnya sinonim dengan sesetengah suku kaum di Malaysia khususnya Orang Ulu yang sehingga kini masih mengamalkan pemakaiannya dalam upacara keagamaan dan ritual.

Muzium Perak ambil peluang pameran budaya topeng

Menurut Kamus Dewan, topeng adalah sesuatu yang dipakai untuk menutup muka, direka dalam pelbagai bentuk seperti muka orang, binatang dan sebagainya.

Di Semenanjung, penggunaan topeng juga dapat dikesan melalui seni persembahan tradisional terutama bagi masyarakat Melayu tradisi seperti Menora dan Makyung di Kelantan serta Mek Mulung dan Awang Batil di Kedah dan Perlis.

Di Sarawak tradisi berkenaan diwarisi empat kumpulan utama iaitu Dayak, Dayak Laut, Murut dan Melanau.

Bagaimanapun, sejak kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penggunaan topeng sebagai satu budaya agak berkurangan kerana larangan agama Islam yang tidak membenarkan penganutnya membuat bentuk figura atau imej muka manusia apatah lagi yang berkaitan dengan pemujaan.

Bagaimanapun, Pemangku Pengarah Muzium Perak, Penolong Kurator Kanan, Sahabudin Md Isa berkata, sehingga kini budaya topeng di Malaysia masih dipraktikkan beberapa kumpulan Orang Asli dengan kepercayaan yang kukuh dalam pantang larang dan kuasa ghaib.

"Permulaan 2015, Muzium Perak mengambil peluang ini dengan mengadakan Pameran Topeng ‘Seribu Wajah’ bermula Januari lalu hingga Jun depan.

“Buat kali pertama, Muzium Taiping mengadakan pameran ini dan kebanyakan topeng yang dipamerkan di sini adalah milik muzium sendiri dan sebahagiannya dibawakan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, Muzium Perak amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan pengunjung tempatan tetapi luar.

“Kita yakin, kelainan yang ditampilkan kali ini, bakal menarik perhatian lebih ramai pengunjung, terutama ketika musim cuti sekolah.

"Pada masa sama, pameran ini memberikan kefahaman latar belakang sejarah dan sosiobudaya masyarakat berkaitan pemakaian topeng.

“Selain itu, ia memperlihatkan keunikan budaya topeng berdasarkan motif dan penciptaan setiap reka bentuknya,” katanya.

Katanya, dunia topeng dan pengamalannya mengikut kaum dan etnik yang terdapat di Malaysia mengikut kepercayaan masing-masing perlu di dokumentasikan.

"Malah, kita juga turut mempamerkan perwatakan dan sifat universal serta kepelbagaian pada setiap ukiran topeng berdasarkan fungsi dan peranannya,” katanya.

Topeng produk industri kreatif

Sahabudin berkata, topeng yang digunakan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia adalah lebih kepada tarian dan ritual penyembuhan.

“Bagi masyarakat kaum Mah Meri dan Jah Hut, ukiran topeng lebih tertumpu kepada ciri watak roh nenek moyang.

“Topeng dicipta berdasarkan mitos dan cerita dongeng bertujuan mengurus, mendidik dan menerapkan moral kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, topeng digunakan dalam upacara keagamaan oleh masyarakat Kayan, Murut dan Iban di Sarawak.

“Biasanya topeng yang dihasilkan ialah ritual nenek moyang dan topeng yang mewakili syaitan serta roh.

“Tiga ciri penting topeng Sarawak berkaitan dengan bentuk, corak dan warna.

“Dua bentuk topeng Sarawak yang boleh dibezakan dengan wajah manusia dan kedua ialah muka makhluk halus yang dicirikan orang Melanau, Kayan dan Kenyah,” katanya.

Katanya, masyarakat Orang Asli Mah Meri dan Jah Hut di Semenanjung Malaysia serta etnik Iban, Kenyah dan Kayan dari Sarawak memperlihatkan budaya pembuatan topeng sebagai produk kraf tangan yang menarik.

“Malah, kerajaan melalui Perbadanan Kraftangan Malaysia dan pertubuhan kerajaan giat mempromosikan topeng yang dihasilkan sebagai produk industri kreatif Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, topeng kini berfungsi sebagai cenderamata atau barangan perhiasan apabila pembuatannya dikomersialkan.

“Selain itu, Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf topeng yang dihasilkan etnik Mah Meri dan Jah Hut.

“Melalui industri kreatif, topeng yang dihasilkan berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Dengan galakan dan sokongan yang diberikan ini dapat membantu perkembangan dan pembangunan industri kreatif dalam komuniti mereka,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment