Saturday 21 February 2015

Tangan remaja 14 tahun dipotong

  • Tangan remaja 14 tahun dipotong

KEMAMAN - Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak yang dilahirkan dengan sempurna anggota badan, terpaksa dipotong tangannya akibat menghidap barah tulang.

Ibu mangsa, Hanismulizuana Mustaffa, 36, berkata, hatinya sebak ketika doktor memaklumkan tangan kiri anak perempuannya yang berusia 14 tahun, Faradina Che Fauzan terpaksa dipotong bagi mengelakkan virus barah merebak di bahagian tubuh lain.

Bagaimanapun, dia dan suami, Che Fauzan Che Ahmad, 44, reda dengan ketentuan ALLAH SWT setelah dimaklumkan itulah jalan terbaik untuk menyelamatkan anak sulung mereka itu yang mesra dengan panggilan Dina.

“Hanya kepada ALLAH kami berserah dan kami juga sangat bersyukur sebab walaupun keadaannya masih belum stabil selepas pembedahan, namun Dina amat kuat semangat,” katanya.

Tangan kiri membesar

Anak sulung daripada tiga beradik yang tinggal bersama keluarga di Kota Bharu, Kelantan itu diketahui menghidap barah tulang di bahagian tangan kiri selepas mendapat suntikan untuk barah serviks di sekolahnya, iaitu sebuah sekolah agama di Kota Bharu pada Oktober tahun lalu.

Menurut Hanismulizuana, dia dan suami kemudian membawa Dina ke hospital besar Kota Bharu untuk mendapatkan pengesahan setelah tangan kiri anak mereka itu semakin besar dan tidak mampu diangkat.

Katanya, doktor pakar di Unit Jagaan Koronari HUSM Kubang Kerian sehingga kini masih membuat pemantauan rapi terhadap Dina, malah kos ubat bernilai RM12,000 sehari juga di bawah tanggungan pihak hospital kerana pesakit masih pelajar.

“Tangan kiri Dina jadi makin besar dan dia tak mampu angkat tangannya itu. Ketika kami tahu penyakit anak kami ini, ia sudah pada tahap kronik,” katanya ketika menerima kunjungan Puteri Umno Dun Chukai di HUSM, semalam.

Hanismulizuana turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga Kemaman yang sangat prihatin dan sudi memberi sumbangan kepada keluarganya.

Puteri Umno Dun Chukai lancar kutipan derma kilat

Sementara itu, bagi meringankan beban Faradina sekeluarga, Puteri Umno Dun Chukai melancarkan kutipan derma kilat dan kemudiannya menyerahkan kutipan pertama berjumlah RM2678.40, semalam.

Ibu saudara mangsa yang juga AJK Puteri Umno Bahagian Kemaman, Harwany Yusof, 34, yang menyerahkan sumbangan itu berkata, wang berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan keluarga itu sepanjang berada di hospital.

Malah, katanya yang juga Pengerusi Kelab Belia Aswari Kemaman, kutipan itu akan diteruskan untuk membantu Faradina sekeluarga dalam menempuh ujian sukar tersebut.

“Daripada kutipan amal tabung kilat Adik Dina, Puteri Umno Dun Chukai dapat mengumpul sebanyak RM2678.40.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Penyelaras Dun Chukai, Pejabat Parlimen Kemaman, Atra Dun Kijal dan warga Kemaman atas derma ini. Setinggi-tinggi penghargaan turut ditujukan kepada Penyelaras Puteri Umno Dun Chukai, Norfaizah Sulong dan sukarelawan pergerakan ini kerana membantu sepanjang kutipan berjalan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment