Saturday 21 February 2015

Amalan makan plasenta atau uri kian popular di Amerika Syarikat

Claudia Booker menunjukkan bekas pil uri yang kian menjadi popular di kalangan ibu-ibu di Amerika Syarikat. - AFP PHOTO/BRENDAN SMIALOWSKI

WASHINGTON: Trend kesihatan datang dan pergi, tetapi satu trend yang kian popular di kalangan ibu baharu di Amerika Syarikat adalah untuk makan plasenta atau uri bayi.

Mereka yakin ia dapat membantu untuk meningkatkan tenaga, menghasilkan susu yang sihat dan menghindari kemurungan selepas bersalin.

Amalan tersebut turut menyebabkan kaum ibu menjauhkan diri dari perubatan moden untuk rawatan semula jadi, atau mengikut trend selebriti Hollywood yang sering mengetengahkan rawatan ‘New Age’ terkini.

Dikenali sebagai "placentophagy," ia memerlukan para ibu untuk makan uri yang kaya dengan zat besi dalam beberapa bentuk: cecair, pepejal atau dimasukkan ke dalam pil.

Sesetengah bidan menggalakkan amalan pemakanan uri untuk ibu juga.

"Uri membantu memulihkan badan anda dengan vitamin, mineral, hormon," kata seorang bidan Claudia Booker kepada AFP.

Untuk $270 (RM984.96) Booker akan memproses organ berkenaan untuk dijadikan pil dan boleh bertahan selama beberapa minggu.

Setakat ini, tiada kajian saintifik tentang bilangan ibu baharu yang mengambil bahagian dalam amalan ini.

Namun amalan ini popular di kalangan selebriti Hollywood termasuk Alicia Silverston dan Januari Jones.

Terdapat juga buku memasak yang mengandungi resipi seperti lasagna dan tqcos yang mengandungi uri.

Amalan ini turut memberikan manfaat emosi.

Seorang ibu Laura Ransom dari Las Vegas, Nevada mengambil pil uri selepas kelahiran anak ketiganya dan berkata ia membantu beliau menguruskan jadual yang sibuk.

"Pil ini memberikan saya tenaga, mengawal emosi saya dan oleh itu saya benar-benar gembira. Ia turut membantu saya untuk menangani beberapa perkara setelah mendapat anak ketiga setelah kita berpindah dan juga sumai saya memulakan kerja baru,” katanya.

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment