Saturday 7 February 2015

Pilot masih pegang alat pengemudi

Anggota penyelamat mengeluarkan beberapa penumpang yang terselamat dalam nahas tersebut. Gambar kecil, Liao Chien-tsung.

TAIPEI - TAIWAN . Juruterbang pesawat TransAsia Airways GE235 yang terhempas di Sungai Keelung di Taipei, masih memegang alat pengemudi di kokpit pesawat, apabila mayatnya ditemui, menurut laporan media Taiwan.

Liao Chien-tsung, 42 tahun, dipuji sebagai wira kerana berjaya mengelak daripada melanggar bangunan kediaman dan komersil ketika mengemudi pesawat malang itu, sebelum ia terhempas ke dalam sungai.

Mayat Liao ditemui dengan kedua-dua kakinya retak teruk, menurut akhbar berpangkalan di Taipei, China Times.

“Dia cuba sedaya upaya untuk memegang alat pengemudi hingga detik terakhir sebelum pesawat terhempas di sungai, dalam usaha untuk mengawal arah pesawat dan mengurangkan kematian,” menurut laporan itu.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu yang membawa 58 penumpang dan kru, terhempas sejurus ia berlepas dari Lapangan Terbang Songshan dalam perjalanan ke pulau Kinmen.

Sementara itu, menurut TVBS, dua lagi mayat ditemui semalam, menjadikan angka korban kepada 33 setakat ini, 10 yang lain masih hilang.

Nahas tersebut merupakan yang kedua melibatkan pesawat TransAsia.

Julai lalu, 48 penumpang maut apabila sebuah lagi pesawat TransAsia terhempas ketika hendak mendarat di pulau kecil, Penghu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pentadbiran Aeronautik Awam Taiwan (CAA), Lin Tyh-ming berkata pihaknya sudah mengharamkan TransAsia Airways daripada menambah laluan penerbangan baharu selama setahun.

"Syarikat penerbangan itu sudah pun dikecualikan dari peruntukan ruang udara baharu oleh CAA sejak Julai tahun lalu, selepas tragedi yang mengorbankan 48 orang," katanya. 

- Sumber: Channel News Asia

No comments:

Post a Comment