Saturday 7 February 2015

Mata ditutup, tangan diikat tuala

Tingkap belakang rumah mangsa yang dipatahkan menggunakan tuil kereta dalam kejadian samun yang berlaku di Kampung Bercham di sini.Gambar kecil: Lian Yu

IPOH – Seorang wanita warga emas panik selepas mata dan mukanya ditutup serta kedua tangannya diikat menggunakan tuala ketika dia sedang nyenyak tidur di rumahnya dalam kejadian samun yang berlaku di Kampung Bercham, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa Jin Lian Yu, 68, warganegara China yang bekerja sebagai pembantu kedai di sini, turut dipukul di bahagian muka dan paha sebelah kanan oleh dua lelaki yang dipercayai bertindak menyamun rumah warga emas terbabit.

“Ketika kejadian saya terdengar perbualan dua lelaki terbabit namun tidak dapat melihat wajah mereka memandangkan muka saya telah ditutup.

“Saya hanya merasa sakit di bahagian mata sebelah kiri dan paha sebelah kanan akibat dipukul oleh dua lelaki terbabit.

“Malah, mereka turut melarikan beberapa barangan berharga saya antaranya sebentuk cincin emas dan wang tunai RM400.

“Saya mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM1,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Lian Yu berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mengumpil pintu pagar belakang rumah dan mematahkan besi tingkap sebelum masuk.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana tidak dicederakan dengan teruk oleh mereka,” katanya yang hanya tinggal bersendirian ketika kejadian itu berlaku.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bercham dengan bantuan Adun Bercham, Cheong Chee Khing, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan ia akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan.

- Sumber: Sinar Harian | 3 Februari 2015

No comments:

Post a Comment