Tuesday 10 February 2015

Pembangunan standard 5G: Ericsson dan CAICT meterai MoU


ERICSSON memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Teknologi Komunikasi dan Maklumat Cina (CAICT) bagi melancarkan penyelidikan dan pembangunan 5G, teknologi mudah alih untuk generasi akan datang.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Teknologi Ericsson, Ulf Ewaldsson berkata, jalinan kerjasama itu akan mempercepatkan usaha penyelidikan dan penyeragaman teknologi 5G untuk mengkomersialkannya sekitar tahun 2020.

“Kami teruja untuk memulakan perjalanan baharu ini dengan CAICT ke arah pembangunan standard global 5G.

“Ericsson dan CAICT sebelum ini, mempunyai sejarah panjang dalam jalinan kerjasama dan kami percaya, teknologi jalur lebar mudah alih memberi manfaat kepada masyarakat dengan mengangkat produktiviti dan kualiti hidup, sekali gus menyumbang pembangunan mampan untuk semua,” katanya.

CAICT merupakan peneraju teknologi komunikasi maklumat (ICT) di China dan perintis standard 3G dan 4G.

Ericsson dan CAICT bersetuju dalam sokongan mempromosikan standard 5G, selain bekerjasama dalam teknologi penyelidikan meliputi bidang-bidang utama seperti teknologi akses radio, seni bina rangkaian asas dan permohonan 5G.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment