Saturday 28 February 2015

'Ini cara orang Malaysia berhimpun, ini bukan London' - Adam Adli

Aktivis Anak Muda, Adam Adli tidak mahu orang ramai menyamakan protes jalanan dengan keganasan yang menimbulkan kekacauan. L

KUALA LUMPUR: Aktivis Anak Muda, Adam Adli tidak mahu orang ramai menyamakan protes jalanan dengan keganasan yang menimbulkan kekacauan.

Dia yang ditemui selepas perhimpunan #KitaLawan yang berakhir di Taman Suria KLCC petang tadi berkata sebaliknya ia harus dilihat sebagai satu peluang untuk orang ramai bersuara.

"Kita yang datang berhimpun ini bukan penjenayah atau pengganas. Kita cuma orang biasa dan sama seperti orang lain dan kita mahu bersuara dan meluahkan ketidakpuasan dengan beberapa isu," kata Adam Adli.

Dia juga berkata bahawa gabungan 'marching band' dan 'street theatre' ketika perhimpunan adalah sebagai langkah agar orang ramai tidak takut dengan protes jalanan.

"Ini bukan Ukraine, atau London atau Libya ke apa. Tidak. Ini cara orang Malaysia. Kita hormat sama sendiri. Kita bukan cari gaduh," katanya.

Adam Adli turut mengakui perarakan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) setelah berhimpun di pusat membeli belah Sogo petang tadi dibuat pada saat akhir dan dilakukan setelah memaklumkan pihak polis tentang perancangan itu.

"Perkara yang tidak dirancang adalah paling baik. Kita cuma memberitahu pihak polis. Mereka tidak boleh menghalang kami," katanya.

Adam Adli berkata perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac akan menyaksikan lebih ramai penyokong dan ia akan bermula di Sogo.

"Selebihnya kita akan serahkan kepada hari tersebut dan apa yang akan berlaku," katanya.

Sementara itu, menerusi tinjauan Astro AWANI di kawasan Suria KLCC yang merupakan pusat membeli belah yang digemari pelancong, beberapa warga asing yang ditemui berkata perhimpunan #KitaLawan sama sekali tidak menjejaskan pengalaman mereka.

"Ia amat menarik," kata seorang pelancong dari China, Ming Ming, 32.

"Semua orang berhak bersuara dan memberikan pendapat mereka di tempat umum. Ia tidak menjejaskan imej Malaysia," tambahnya, yang berasal dari daerah Guangdong.

Florean Gas, 32, dari Lyon, Perancis menganggap perhimpunan ini kecil berbanding di Eropah.

"Kita ada (perhimpunan) di Eropah di skala yang lebih besar. Ia bukanlah normal tetapi itulah yang berlaku dengan politik.

"Ia tidak menjejaskan saya kerana mereka telah pun bersurai," kata Gas.

#KitaLawan merupakan satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.

Dianggarkan sekitar 150 orang hadir dalam perhimpunan hari ini.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment