Sunday 22 February 2015

Gesaan 100 peguam: 'Akhirnya buku bertemu ruas'


SHAH ALAM - Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata kebangkitan 100 peguam yang mendesak Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong supaya menarik balik kenyataan dikeluarkannya 11 Februari lalu, adalah ‘kena pada masanya’.

Khairul Anwar berkata, dengan tuntutan itu maka berakhirlah keangkuhan Majlis Peguam yang selama ini seolah-olah bertindak dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati.

“Kini buku sudah bertemu ruasnya. Majlis Peguam kini ditentang hebat oleh majoriti peguam yang mahukan badan berhenti menyelewengkan fakta yang mengelirukan rakyat.

“Peguam seluruh negara mula bangkit dengan 100 ahli Majlis Peguam hari ni menandatangi petisyen mendesak Presiden Christopher Leong berhenti mengkritik badan kehakiman atau meletak jawatan jika enggan bersifat profesional.

“Sokongan hebat lebih 100 peguam yang digembleng dalam tempoh dua hari sahaja memberi isyarat jelas kepada Presiden Bar Council supaya jangan lagi sewenang-wenangnya memberi kenyataan seolah-olah mewakili seluruh peguam negara ini.

“Jika pimpinan Bar Council masih ingin menguji kesabaran majoriti peguam, nantikan kebangkitan peguam seluruh negara yang kini sudah hilang sabar dengan karenah mereka yang sudah semakin jauh tersasar dengan fungsi sebenar penubuhan badan itu,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Terdahulu, Leong pada 11 Februari berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya dan bukannya didakwa dalam rayuan kes liwatnya didapati seolah-olah menghina ketelusan sistem kehakiman negara.

Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, Majlis Peguam sepatutnya bertindak 'without fear or favor' iaitu tanpa rasa takut dan pilih kasih, apatah lagi menunjukkan kecenderungan melulu dalam menyokong hanya satu pihak dalam mana-mana perbicaraan.

“Ingatlah falsafah sebenar kepeguaman iaitu kehadiran peguam di mahkamah ialah sebagai 'pegawai keadilan dan kebenaran' bagi membantu mahkamah 'meletakkan kebenaran di tempatnya' dan tidak sekali-kali akur 'menegakkan benang basah bagi pihak anak guamnya'.

“Sehubungan dengan ini juga, peguam dari seluruh negara yang ingin menyatakan sokongan terhadap petisyen ini diminta menghubungi Sekretariat SukaGuam melalui emel sukaguam@gmail.com bagi tindakan selanjutnya.

“ Satu siri jelajah bertemu dgn para peguam serta lulusan undang-undang dari seluruh negara juga akan diadakan untuk mendapatkan maklumbalas lanjut terutama 'cadangan membentuk lebih satu badan guaman seperti yang diamalkan oleh negara-negara lain'.

“Dengan adanya lebih satu badan guaman, para peguam boleh memilih badan guaman yang mereka ingin bernaung sekaligus tidak terikat lagi dengan situasi seperti yang mereka alami ketika ini iaitu terpalit dengan tindakan-tindakan buruk Bar Council yang tidak pernah para peguam persetujui sama sekali,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment