Sunday 22 February 2015

Feri dengan 400 penumpang diselubungi asap


Kesemua penumpang dipindahkan ke feri gantian untuk ke Kuala Kedah. - Astro AWANI


LANGKAWI: Suasana cemas dan panik apabila sebuah feri yang sarat dengan lebih 400 penumpang dalam perjalanan menuju ke Kuala Kedah dari Kuah, Langkawi diselubungi asap siang tadi.

Laporan awal kejadian berlaku ketika feri dua tingkat tersebut berada di perairan Langkawi kira-kira jam 12.35 tengah hari selepas berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah.

Sejurus kepulan asap itu dikesan oleh anak kapal mereka segera mengarahkan penumpang memakai jaket keselamatan sebelum feri berpatah balik ke jeti Kuah.

Walau bagaimanapun feri tersebut selamat tiba di jeti Kuah jam 12.55 tengah hari dan semua penumpang kemudian dipindahkan ke feri gantian untuk ke Kuala Kedah.

Menurut seorang petugas feri yang enggan dikenali, kepulan asap terjadi dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri.

Menurutnya lagi, penumpang terbabit dikesan meletak puntung rokok atas rak dalam tandas yang diperbuat daripada gentian kaca menyebabkan berlaku kebakaran kecil.

Akibat kebakaran kecil itu asap telah masuk ke ruang penumpang dan berlaku suasana panik tetapi terkawal.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment