Thursday 1 January 2015

Rezeki terpijak selepas banjir besar

  • Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.
  • Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.

PASIR MAS - Musibah banjir luar biasa yang melanda jajahan ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila rumah mereka ditenggelami air.

Namun disebalik musibah itu, banjir memberikan rezeki terpijak kepada penduduk tempatan yang mengambil kesempatan untuk menjala ikan sebaik sahaja air mulai surut.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Gaung, Tendong mendapati, puluhan penduduk sibuk menangkap ikan yang dikatakan terlepas dari sangkar berhampiran menggunakan jala di kawasan semak yang dinaiki air akibat banjir.

Situasi itu seolah-olah pesta menangkap ikan yang kebiasaan dilakukan penduduk setempat ketika musim kemarau.

Seorang penduduk, Mohd Shaubari Mohd Radzi, 31, berkata, dia keluar menangkap ikan sejak awal pagi sebaik sahaja banjir mulai surut.

“Alhamdulillah banyak juga rezeki yang diperoleh hari ini. Kebanyakan ikan ini adalah jenis patin dan ia dipercayai terlepas daripada sangkar milik seorang penternak,” katanya.

Mohd Shaubari berkata,, kebanyakan ikan yang ditangkap seberat tiga hingga empat kilogram setiap seekor.

Katanya, ikan yang ditangkapnya itu akan dijual dan selebihnya dijadikan lauk.

“Saya tahu kawasan ini ada ikan selepas melihat orang ramai berkumpul dan menangkap ikan. Saya pun turut singgah untuk mencuba nasib,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zul Amini Mohd Zakaria berkata, walaupun masih berduka namun ia sedikit terubat dengan rezeki yang diperoleh itu.

Katanya, hasil jualan ikan akan digunakan untuk perbelanjaan harian selepas rumahnya ditenggelami banjir.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment