Thursday 1 January 2015

Dua remaja maut digilis lori

  • Kemalangan maut membabitkan dua remaja lelaki di Hulu Langat, semalam. -FOTO IHSAN PEMBACA SINAR HARIAN
  • Kemalangan maut membabitkan dua remaja lelaki di Hulu Langat, semalam. 


SHAH ALAM - Dua remaja lelaki maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal dan lori berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai dipandu laju sebelum melanggar sebuah lori di hadapan mereka.

“Pelanggaran mengakibatkan kedua-dua mangsa berusia 15 dan 16 tahun terperosok ke bawah lori dan digilis tayar belakang lori tersebut.

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Hairul Ashraf Kamarulzaman dan Mohd Faiz Mohd Daud, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Menurut Ab Rashid, laporan dibuat pemandu lori berkenaan sejurus kemalangan berlaku. Pemandu lori tidak mengalami kecederaan. Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan di Jalan Segambut Kuala Lumpur, seorang lelaki, menunggang motosikal maut selepas bertembung sebuah kereta.

Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun itu mahu membelok masuk ke arah simpang kedai berhampiran.

“Mangsa dikenali sebagai Chan Chee Loong, berusia 37 tahun, tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian kiri hadapan kereta itu dan terjatuh ke bahu jalan.

“Akibatnya, mangsa cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment