Wednesday 12 November 2014

Datuk Seri didakwa kerana simpan diesel lebih had

AYER KEROH: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri bersama dua lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menyimpan dan memiliki 27,000 liter diesel di tempat tidak dibenarkan.

Tertuduh, Datuk Seri Ong Tai Poh, 52, Muhammad Shafiq Tan Abdullah, 40 dan Azery Sallehudin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan hakim, Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, syarikat milik Tai Poh iaitu Poh Fatt Supreme Holdings Sdn Bhd membenarkan menyimpan barang kawalan 8,000 liter diesel.

Dia didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 jika sabit kesalahan.

Tai Poh turut didakwa sebagai pengarah syarikat itu kerana membenarkan untuk menyimpan barangan berkenaan di tempat yang tidak diberi kebenaran oleh pengawal bekalan.

Sementara itu, Muhammad Shafiq didakwa menyimpan barangan kawalan iaitu 8,000 liter diesel yang menimbulkan syak munasabah di sebuah premis tidak dibenarkan.

Azrey pula didakwa memiliki 19,000 liter diesel di atas lori dalam keadaan menimbulkan syak munasabah iaitu berurusan dengan diesel secara runcit atau borong tanpa lesen sah.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan di sebuah stor tanpa nama dalam kawasan lot PT4823 TTC33, Kawasan Perindustrian Cheng pada 12.20 tengah hari pada 5 Mac 2014.

Pendakwaan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih rm100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Syahrul Nizam Mohd Misan menawarkan jaminan RM100,000 kepada ketiga-tiga tertuduh kecuali pertuduhan membabitkan Syarikat Poh Fatt Supreme Holdings Sdn Bhd.

Tai Po yang diwakili peguam, Ho Wee Keong manakala, Muhammad Shafiq dan Azrey diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork memohon jaminan dikurangkan.

Bagaimanapun, Ahmad Sazali kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment