Wednesday 12 November 2014

Pengsan 4 jam kaki tersepit rim motosikal

Kaki mangsa dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh selepas rim motosikal dipotong.

KERTEH - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sedarkan diri selama empat jam selepas kakinya nyaris hancur akibat tersepit dalam rim motosikal ketika pulang daripada menduduki peperiksaan itu, petang kelmarin.

Mangsa, Wan Siti Sulyza Wan Manssor, 17, ketika itu sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya sebelum kain pakaian seragam sekolah dipakainya tiba-tiba terbelit dalam rim motosikal berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di Jalan Lapangan Terbang Kerteh berhampiran jambatan kereta api ketika mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon.

Bagaimanapun, rakannya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wan Siti Sulyza berkata, dia pengsan selepas kakinya berasa amat sakit kerana dikepit sesuatu.

“Saya tak tahu apa jadi ke atas saya waktu itu. Lepas buka mata, saya dah ada di hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman.

Kaki mangsa dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh yang memotong rim motosikal berkenaan.

Mangsa yang juga anak keenam daripada tujuh beradik kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk mendapatkan rawatan segera sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Sementara itu, ibu mangsa, Mahani Mamat, 47, yang juga buruh ladang berkata, selepas menerima panggilan daripada saksi kejadian pada jam 3 petang, dia bergegas ke Klinik Kesihatan Kerteh dan dimaklumkan anaknya sudah dihantar ke Hospital Kemaman.

“Semasa sampai di hospital, anak saya masih tidak sedarkan diri. Sekitar jam 6 petang barulah anak mula buka mata dan sedar daripada pengsan. Lepas dapat tahu kakinya cedera parah, dia mula menangis kesakitan. 

“Saya dimaklumkan doktor, tulang kaki anak saya patah, buku lali lari sebelah dan kulit kaki serta daging bahagian atas kaki terkoyak. Buat sementara waktu ini, doktor memasukkan besi di bahagian tulang kaki yang patah itu," katanya.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment