Thursday 16 October 2014

Lima sekeluarga antara disyaki pengganas IS

Seorang polis berpakaian preman menahan individu yang disyaki anggota kumpulan IS.

KUALA LUMPUR: Lima sekeluarga, termasuk seorang pelajar Tingkatan Dua, antara 14 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas di Syria.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata kesemua suspek adalah rakyat Malaysia yang berumur di antara 14 hingga 48 tahun.

Katanya mereka yang ditahan itu terdiri daripada peniaga, kru majlis, tukang masak, pereka grafik, pelajar, suri rumah dan jurutera.

“Tiga daripada mereka merupakan penggerak utama dalam sel yang bertanggungjawab merekrut, membiayai dan mengatur pemergian rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria,” kata Khalid dalam kenyataan tersebut.

Menurut beliau, antara penggerak utama itu ialah seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai mengendalikan Facebook bagi tujuan mempromosi, merekrut anggota serta memuat turun propaganda kumpulan IS.

Manakala dua lagi merupakan suspek berusia 34 tahun dan seorang jurutera berusia 37 tahun yang dipercayai bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan di sebuah kementerian.

Polis juga memaklumkan bahawa pelajar Tingkatan Dua itu bersekolah di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Selain itu, menurut Khalid, siasatan lanjut di rumah keluarga yang ditahan itu menemui buku membabitkan jihad dan aktiviti militan.

Polis percaya keluarga terbabit merancang untuk berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan IS.

Seramai 14 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan IS, ditahan di sebuah kedai makan, di Shah Alam, semalam.

Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment