Thursday 16 October 2014

Toyota tarik balik 1.75 juta kenderaan di seluruh dunia

Antara model yang ditarik balik termasuklah jenama mewah Lexus dan Crown Majesta.

TOKYO: Toyota bakal menarik balik 1.75 juta model kenderaannya di seluruh dunia ekoran masalah brek serta gangguan lain yang boleh menimbulkan risiko kebakaran.

Syarikat pembuat kereta terbesar dunia dari Jepun itu memaklumkan bahawa sebahagian besar masalah pada bahagian brek ini dikenal pasti melibatkan 802,000 model di Jepun dan China, yang dihasilkan dari Jun 2007 dan Jun 2012.

Antara model yang ditarik balik termasuklah jenama mewah Lexus dan Crown Majesta.

"Brek menjadi tidak berkesan yang menyebabkan prestasi brek merosot secara beransur," kata satu kenyataan oleh Toyota.

Isu lain melibatkan paip penghantaran bahan api pada 759,000 kenderaan, termasuk model Lexus dan Crown Majesta model dibuat antara Januari 2005 dan September 2010, yang boleh meningkatkan risiko kebakaran "dengan kehadiran sumber pencucuhan".

Lebih separuh daripada kereta yang terjejas telah dijual di Amerika Syarikat.

Satu masalah lagi dengan 109,000 kereta di Jepun dikaitkan dengan plat bahan api sedutan yang juga boleh mencetuskan risiko kebakaran, kata firma itu. Kereta-kereta terbabit telah dibuat di antara Oktober 2006 dan Oktober 2014.

Pengumuman itu dibuat kira-kira empat bulan selepas Toyota menarik balik 2.27 juta kenderaan di seluruh dunia disebabkan oleh kecacatan pada beg udara yang gagal berfungsi ketika kemalangan dan berisiko menyebabkan kebakaran.

Toyota telah memanggil balik hampir 11 juta kenderaan sejak awal tahun ini, yang sekali gus memberi tamparan hebat kepada Toyota yang terkenal dengan reputasi cemerlang untuk kualiti dan keselamatan.

Antara pengumuman yang dibuat ialah pada Februari lalu, di mana sebanyak 1.9 juta unit kereta hibrid jenis Toyota Prius telah ditarik balik. - AFP 

No comments:

Post a Comment