Friday 21 February 2014

Malaysia perlu ramai juruterbang

Perlu ramai   juruterbang
Terry

PERMINTAAN untuk juruterbang di seluruh dunia semakin meningkat, dengan 26,000 juruterbang diperlukan bagi memenuhi keperluan syarikat penerbangan di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Prinsipal Akademi Penerbangan Malaysia (MFA), Kapten Stephen Michael Terry berkata, berdasarkan situasi ekonomi kini, keperluan juruterbang di Malaysia dijangka meningkat berdasarkan peningkatan jumlah pembelian pesawat baharu oleh syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd.

“Bagaimanapun peningkatan bagi keperluan juruterbang agak perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini memandangkan industri penerbangan baharu pulih daripada krisis ekonomi yang berlaku pada 2008.

“Berikutan krisis itu, hampir kesemua syarikat penerbangan terpaksa mengurangkan kos operasi termasuk menutup laluan penerbangan sedia ada,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Terry, bagi memenuhi permintaan terhadap juruterbang, MFA akan meningkatkan pelaburan dengan menambah peralatan baharu serta kemudahan latihan termasuk pembelian lapan pesawat iaitu empat pesawat PA 28-161 berenjin tunggal dan empat pesawat PA44-180 enjin berkembar selain dua simulator penerbangan.

Katanya, MFA akan membelanjakan kira-kira RM15 juta bagi pembelian itu.

Pada masa ini, akademi itu memiliki 23 pesawat dan dua simulator.

Selain itu, MFA turut mengintai peluang memberi latihan pengendalian jet serta berhasrat mengubah status semasa sebagai Flight Training Organization (AFTO) kepada Type Rating Training Organization (TRTO) dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sijil ini akan membenarkan kami mengendalikan latihan bagi penerbangan pesawat komersial dan kapal terbang yang lebih besar,” katanya.

MFA yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka merupakan akademi perintis di negara ini yang menyediakan latihan profesional kepada bakal juruterbang untuk syarikat penerbangan seperti MAS, Singapore Airlines, Silk Airlines, Jetstar Airways, Air Mauritius dan Polis Diraja Malaysia.

Beroperasi sejak 1983, MFA turut menerima pelajar dari negara luar antaranya Singapura, Australia, Iran, India, Indonesia dan Taiwan.


No comments:

Post a Comment