Friday 21 February 2014

32 pengawal keselamatan warga asing ditangkap

32 pengawal keselamatan warga asing ditangkap
Warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu, semalam.


PETALING JAYA – Seramai 32 pengawal keselamatan warga asing ditahan pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu, di sebuah pasar raya di Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

Ketua Operasi, Nik Shahanizam Ahmad berkata, serbuan jam 11.30 pagi itu menahan 28 warga Nepal dan 4 warga Bangladesh berusia 18 hingga 43 tahun.

“Operasi selama tiga jam itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bertindak sebagai pengurus keselamatan di situ,” katanya.

Ketika operasi, semua warga asing tersebut sedang leka bekerja dan pihaknya bertindak merampas 26 unit walkie talkie dan kad perakam waktu.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan direman 14 hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah.

Salah seorang dari mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

“Lelaki tempatan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui melanggar peraturan akta,” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment