Friday 21 February 2014

Nelydia cintai pemuda mualaf?

Nelydia cintai pemuda Mualaf?

PERBEZAAN agama dan bangsa tidak pernah membataskan rasa cinta dan sayang yang diciptakan ALLAH untuk hamba-Nya.

Meskipun terhalang dek keluarga jika sudah jodoh tetap bertemu biar pun jarak memisahkan.

Menggandingkan pelakon Nelydia Senrose dan Mah Kit Wai, drama bertajuk Sesuci Cintamu disiarkan TV1 mengisi slot Panggung 1 pada 3 Mac depan, jam 2 petang turut dibintangi oleh Abdul Razak, Safura Yaacob, Mandy Chong, Amar Bahrin, Syawal dan Shakila oriri.

Drama arahan Harris Fadzillah ini bermula di mana Aisyah, seorang penuntut tahun akhir universiti yang mempunyai latar belakang keluarga yang begitu prihatin berkenaan pengisian Islam menerima undangan makan daripada rakan seuniversiti iaitu Jason Chong yang telah lama meminatinya.

Aisyah tanpa pengetahuan ibu bapanya menerima undangan keluar makan bersama Chong dengan syarat ia ditemani oleh sepupunya yang juga kawan rapatnya di universiti yang sama. Perjumpaan itu membibitkan perasaan yang lebih mendalam di antara mereka tambahan pula Chong merasakan keunikan keperibadian Aisyah berbanding dengan remaja wanita lain yang pernah ditemuinya.

Chong dan Aisyah sering berhubung melalui Internet. Dalam diam Aisyah yang tertarik dengan Chong cuba sedaya upaya untuk tidak menampilkan perasaan itu kerana tahu hubungan mereka tidak akan dipersetujui ibu bapanya terutama sekali bapanya, Haji Shafie.

Haji Shafie juga sebenarnya telah berura-ura untuk menjodohkan Aisyah dengan Azman, anak kepada saudara jauh mereka, Haji Misnin.

Untuk memastikan Chong keluar daripada hidup anaknya, Haji Shafie berjumpa Chong dan menyatakan perkara sama. Tuan Haji Shafie yang berprasangka buruk terhadap Chong agak terkedu apabila melihat keperibadian Chong yang baik.

Chong bagaimanapun akur menerima permintaan Tuan Haji Shafie dan memahami maksud di sebalik permintaan untuk melupakan Aisyah.

Aisyah yang tidak tahu tentang perjumpaan bapanya dengan Chong pula merasakan seperti Chong meninggalkannya dalam dilema dan tidak sanggup menyahut cabaran cinta mereka.

Malang tidak berbau, tidak lama selepas itu, Aisyah mengalami kemalangan dan akibatnya sebahagian dari urat sarafnya yang terluka di bahagian trakea, Aisyah tidak boleh lagi bersuara.

Hampir dua tahun berlalu, Aisyah masih belum pulih. Ibunya memberitahunya yang Chong telah kembali ke tanah air tetapi Aisyah hanya menangis apabila mendengar berita tersebut.

Satu pagi yang indah, loceng rumah Aisyah berbunyi. Ibunya tergesa-gesa membuka pintu dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila Chong muncul bersama ibunya dan berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Lalu masihkah ada jodoh di antara mereka? - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment