Saturday 15 February 2014

Keldai dadah warga Vietnam dicekup cuba masuk seperti pelancong


ALOR SETAR: Lagaknya seolah-olah tidak melakukan kesalahan dengan memasuki negara ini seperti pelancong lain, malah menggalas beg pakaian yang jauh lebih berat.

Bagaimanapun taktik lelaki warga Vietnam itu untuk menyeludup dadah berjaya dihidu Kastam Diraja Malaysia Kedah selepas menemui 3.319 kg dadah jenis syabu bernilai RM630,610 dalam beg galasnya.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di unit pemeriksaan penumpang bas dan pejalan kaki di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 4.40 petang, Rabu lepas.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Abdul Aziz Abdul Latif ketika melakukan imbasan ke atas beg galas suspek mendapati terdapat imej yang mencurigakan serta berat beg yang berisi pakaian itu lebih berat dari sepatutnya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dalam beg suspek berkenaan terdapat dua bungkusan yang dilekatkan dengan pita pelekat bewarna coklat yang mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu.

Modus operandi suspek adalah dengan mengubahsuai beg tersebut dengan melekatkan bungkusan dadah pada dinding beg itu dibahagian depan dan belakang sebelum meletakkan pelbagai jenis pakaian.

Beliau berkata suspek yang menjadi keldai dadah itu dipercayai dalam perjalanan dari Bangkok, Thailand ke Kuala Lumpur untuk menghantar syabu.

Abd Aziz berkata, suspek yang juga pekerja di sebuah kilang di Vietnam dipercayai mengambil dadah itu dari satu sindiket di Bangkok, Thailand untuk di pasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Ini kali pertama yang dia masuk ke sini menggunakan pasportnya. Dia kelihatan tenang dan tidak nampak seperti takut. Dari pandangan saya, suspek berusia lebih lebih kurang 30-an dan belum berkahwin,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh berdepan dengan hukuman mati mandatori.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment