Saturday 15 February 2014

The Act of Killing buka sejarah pedih Indonesia


Anwar Congo tidak menyembunyikan hakikat bahawa dengan tangannya sendiri dia pernah membunuh lebih kurang 1,000 orang yang didakwa sebagai komunis di Indonesia pada 1960-an dan dia bermegah-megah tentang cara bagaimana dia membunuh mereka.

Dia menggunakan bongkah kayu untuk memecahkan tengkorak mangsanya; menyembelih sesetengahnya dengan parang atau melilitkan dawai besi pada tengkuk yang katanya menghapuskan mereka dengan lebih cepat dan berkesan.

Pengakuan Anwar yang menakutkan itu menjadi rangka cerita dalamdokumentari Jagal atau Act of Killing arahan Joshua Oppenheimer. Dokumentari yang merakamkan cerita tukang sembelih yang membunuh sekurang-kurangnya 500,000 orang yang dituduh komunis itu dicalonkan untuk Oscar.

Menurut Oppenheimer, perhatian yang diberikan dari serata dunia terhadap filem itu memaksa Indonesia untuk menangani episod hitam dalam sejarahnya -- sejarah yang memulakan pemerintahan 32 tahun Suharto.

"Saya seperti berada di Jerman 40 tahun selepas Holocaust dan melihat Nazi masih berkuasa," kata Oppenheimer, merujuk kepada watak-watak yang diangkat dalam dokumentarinya.

"Mereka sangat bangga dengan apa yang telah mereka lakukan dan selalu bercerita tentangnya dengan wajah yang tersenyum," katanya.

Dalam filem itu, mereka yang terlibat jadi pembunuh dalam tindak balas kepada rampasan kuasa tentera yang gagal pada akhir 1965 itu tidak menunjukkan sedikit pun kekesalan.

"Apa yang saya harap -- sekiranya ada tuah filem ini menang Anugerah Akademi -- ia akan menggalakkan rakyat Indonesia mempertanggungjawabkan pemimpin mereka atas jenayah ini," kata Oppenheimer.

Sesetengah pihak di Indonesia tidak mengalu-alukan filem ini. Mereka mendakwa republik itu sudah melakukan langkah-langkah untuk menangani episod itu. Ia merasakan campur tangan dari luar menjejaskan proses itu.

Jagal/Act of Killing dicalonkan untuk Oscar bagi Dokumentari Terbaik. Ia juga dicalonkan untuk dua anugerah Bafta yang akan berlangsung pada Ahad.

Ketika Oppenheimer tampil ke hadapan, sejumlah karyawan Indonesia yang terlibat dalam penerbitan dokumentari itu termasuk yang dikreditkan sebagai pengarah bersama memilih untuk tidak dikenali atas alasan-alasan keselamatan.

Untuk mendapatkan orang seperti Anwar untuk bercerita, dokumentari itu menjemput mereka yang terlibat dalam pembantaian itu untuk melakonkan semula masa silam mereka dengan menghasilkan sebuah filem termasuk lagu dan jenaka yang slapstik.

Mereka yang terlibat tidak sedar filem itu mungkin akan memburuk nama mereka sendiri. Ia menjadikan menonton filem ini satu pengalaman yang mengganggu.

"Saya tidak pasti apakah selamat untuk mendekati mereka tetapi apabila mereka bercerita, saya dapati mereka berbangga-bangga," kata Oppenheimer.

Jeneral Suharto menuding Parti Komunis Indonesia terlibat dalam cubaan rampasan kuasa. Tuduhan itu didukung oleh tentera yang menggalakkan pembunuhan mereka yang dituduh terlibat dengan komunis -- dan dalam beberapa kejadian, tentera ikut terlibat.

Suharto menggagalkan rampasan kuasa itu dan menggunakan episod berkenaan untuk menyingkirkan Suharto. Dia seterusnya mengambil alih kuasa dan memerintah Indonesia selama tiga dekad.

Kumpulan sukarelawan seperti yang dianggotai oleh Anwar diberi lesen untuk menghimpun dan membunuh mereka yang disyaki jadi komunis serta merampas harta milik mereka. Tidak pernah ada tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

"Saya kemudiannya sedar bahawa mereka ini bermegah-megah bukan kerana mereka bangga tetapi kerana tahu itu kerja salah," kata Oppenheimer.

"Mereka cuba menafikan diri sendiri dan memaksa penafian itu ke atas masyarakat."

Filem itu diterbitkan oleh pemenang Oscar, Errol Morris yang mengerjakan The Fog of War dan pembikin dokumentari yang dihormati, Werner Herzog. Ia sehingga ini sudah mendapat 32 anugerah antarabangsa.

Filem ini bagaimana pun tidak dibenarkan ditayang di pawagam di Indonesia kerana keraguan pemerintah terhadap cara ia menggambarkan sejarah. Selain tayangan khas, filem ini boleh diakses di Internet untuk muat turun.

Episod pembunuhan komunis itu tidak ada dalam buku sejarah di sekolah dan tidak dibincangkan secara meluas semasa era Suharto.

Bagaimanapun selepas kejatuhannya pada 1998 dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia mula membincangkan isu ini dengan lebih terbuka di media massa, seminar akademik dan memoir.

Pengkritik mendesak tentang perlunya tindakan yang lebih daripada itu dengan merujuk kepada keengganan pejabat Peguam Negara membuka siasatan biarpun ada laporan daripada badan hak asasi manusia pada 2012 yang menunjukkan bukti-bukti luas tentang pelanggaran hak.

Jurucakap presiden Teuku Faizasyah berkata filem ini "meremehkan episod sejarah yang gelap dan rumit," dan memihak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu kepada akhbar Jakarta Globe, pengarah bersama filem ini yang enggan dikenali menafikan filem ini diterbitkan oleh orang asing untuk memburukkan reputasi Indonesia di mata dunia.

"Imej buruk ialah apabila ketidakadilan dan kekejaman dipertahankan. Imej buruk ialah apabila tidak akan kata maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa jenayah kemanusiaan. Imej buruk ialah apabila arkitek pembunuhan beramai-ramai ini diangkat sebagai wira," kata kenyataan itu.

Oppenheimer, yang kini sedang mengerjakan sebuah dokumentari sisi lain episod itu daripada perspektif mangsa yakin Jagal telah membantu media arus perdana menangani sejarah itu dan membongkarnya untuk dibahaskan secara terbuka.

"Tidak ada ruang untuk menutup sejarah," katanya. "Ia membuka ruang untuk (rakyat Indonesia) akhirnya mengakui aspek kontemporari Indonesia yang sangat pedih dan mengganggu ini tanpa rasa gentar." -- AFP

No comments:

Post a Comment