Saturday 15 February 2014

Pelajar kolej cedera ditikam kerana bising

Khairi Ahrasa
Khairi Ahrasa


KUALA LUMPUR - Seorang penuntut sebuah kolej swasta nyaris maut apabila ditikam seorang lelaki yang berang dengan sikap remaja itu serta rakan-rakannya yang dikatakan bising ketika berada dalam sebuah kedai makanan segera di Jalan Genting Klang, di sini, petang kelmarin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 21 tahun serta beberapa orang rakannya sedang menunggu giliran untuk membeli makanan.

Katanya, mangsa dan rakan-rakannya berbual serta bergurau dalam nada yang kuat menyebabkan seorang lelaki yang turut berada di kaunter premis menegur mereka.

"Lelaki terbabit mendakwa mangsa dan rakan-rakannya bising sehingga mengganggunya untuk membuat pesanan makanan.

"Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka," katanya, semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati dengan mangsa dan rakan-rakannya bertindak menunggu kumpulan remaja terbabit di luar premis makanan itu.

"Apabila mangsa dan rakan-rakannya keluar, lelaki itu terus menyerang dan menikam belakang badan mangsa dengan pisau," katanya.

Khairi berkata, lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri, manakala mangsa yang cedera dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) premis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini, belum ada tangkapan dan usaha mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Khairi berkata, punca kejadian hanya melibatkan perselisihan faham dan tiada kaitan isu perkauman.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment