Saturday 8 February 2014

Samun: Penyelia maut ditikam

KUANTAN - Seorang penyelia sebuah syarikat pengangkutan maut ditikam dipercayai menjadi mangsa samun dalam kejadian di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng awal hari ini.

Md Saipul Mizan Ibrahim, 33, dari Lorong Balok Sejahtera 12, Beserah ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pengawal keselamatan kilang itu pada kira-kira 2.20 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Superintenden Mohd Haris Daud berkata sebelum itu, pengawal keselamatan berkenaan terlihat mangsa berlari dari arah kawasan parkir lori sebelum rebah berhampiran pos pengawal.

"Mangsa ketika itu masih dalam keadaan sedarkan diri dan dibawa ke klinik kilang untuk rawatan awal.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 7 pagi tadi semasa dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pemeriksaan awal menunjukkan terdapat tiga kesan tikaman pada anggota badan mangsa iaitu di mulut, bahagian kanan dada dan bawah pusat sebelah kiri.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat.

Mohd Haris juga berkata polis tidak menolak kemungkinan Md Saipul Mizan disamun kerana kereta syarikat jenis Ford Ranger bernombor pendaftaran CBP 8985 berwarna biru gelap hilang bersama-sama dompet dan telefon bimbit milik mangsa.

Beliau berkata polis kini giat mengesan suspek terlibat dan tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali individu yang menyamun serta menikamnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment