Saturday 8 February 2014

H1N1 : Penduduk Sabah dinasihat tidak panik

Dr S. Subramaniam
Dr S. Subramaniam

PETALING JAYA - Penduduk di Sabah dinasihat tidak perlu bimbang atau panik berikutan jangkitan virus Influenza A (H1N1) yang dikesan di negeri itu baru-baru ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata tujuh kes H1N1 yang dikesan di Sabah merupakan kes jangkitan selesema biasa yang mana cara-cara dan tanda-tanda jangkitan serta komplikasi adalah serupa dengan influenza bermusim.

Dr Subramaniam menjelaskan cara jangkitan virus H1N1 dalam komuniti adalah melalui cecair batuk atau bersin daripada mereka yang dijangkiti.

"Ini bukan pandemik, jadi tak perlu panik," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan bersama komuniti di Mentari Court di sini, hari ini sambil memberi jaminan kejadian itu adalah terkawal.

Pada 3 Februari lalu, tujuh individu terdiri daripada lima kanak-kanak dan dua dewasa dikesan positif H1N1 di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas dan semua mereka telah diberi rawatan antiviral.

Dr Subramaniam berkata empat daripada individu berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala tiga lagi masih menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk meningkatkan kawalan di dalam wad untuk memastikan virus berkenaan tidak menular," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah pencegahan penularan influenza termasuk mengekalkan tahap kesihatan diri yang tinggi seperti mencuci tangan menggunakan sabun atau sanitiser serta mengamalkan adab batuk yang baik.

Mereka yang berisiko mendapat jangkitan dan komplikasi akibat influenza seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita mengandung digalak mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ada di pasaran, katanya.

"Individu yang mempunyai gejala selesema serupa influenza dinasihat supaya berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment