Thursday 16 January 2014

83 tahun sekolah tiada kelas

83 tahun sekolah tiada kelas
Murid Sekolah Agama Kampung Pagoh beratur menunggu giliran untuk menggunakan kelas


MUAR – Murid Sekolah Agama Kampung Raja, Pagoh, terpaksa belajar dalam keadaan kurang selesa kerana terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja sejak 83 tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan rintihan ramai ibu bapa yang mahu anak mereka belajar di sekolah agama dengan bangunan sendiri.

Susulan itu, pihak berkenaan bertindak membina bangunan baru sekolah itu pada jarak 0.5 kilometer daripada SK Kampung Raja.

Malangnya, bangunan yang dibina pada 2008 dengan anggaran kos lebih RM1 juta tersebut terbengkalai meskipun pembinaannya telah siap 90 peratus.

Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Kampung Raja, Azman Hashim berkata, bangunan dua tingkat yang mempunyai empat bilik itu sepatutnya boleh digunakan setahun lalu.

“Kita kenal pasti projek ini terbengkalai kerana pendawaian dan jalan utama masuk ke sekolah masih belum disiapkan.

“Masalah jalan masuk utama pula disebabkan pemaju tidak mengikut spesifikasi yang betul. Pintu utama sekolah itu berdepan kebun kelapa sawit penduduk dan untuk membuat jalan perlukan kebenaran serta pampasan,” katanya.

Raja Azman berkata, sekolah agama berkenaan didirikan di atas tanah wakaf seluas kira-kira 0.5 hektar, sumbangan seorang dermawan dikenali sebagai Mohd Nor Ismail.

Katanya, ketika ini, sekolah itu mempunyai 140 murid daripada darjah satu hingga darjah enam daripada lapan kampung berhampiran, dan jumlah murid bertambah setiap tahun.

“Pelajar datang dari Kampung Raja, Kampung Tengah, Kampung Selancar, Kampung Bukit Panjang, Kampung Tangga Aur, Kampung Olak Sepam, Kampung Gelam, Kampung Semeriut dan Kampung Brohol.

"Masalah makin meruncing apabila pihak sekolah kebangsaan mahu menggunakan empat kelas yang dipinjamkan untuk aktiviti kelas tambahan dan murid sekolah agama terpaksa belajar di kantin.

“Lebih menyulitkan apabila guru sekolah agama tidak mempunyai bilik guru dan menggunakan bilik stor menyimpan barang serta bilik operasi simpanan kitab yang tidak mempunyai kemudahan lengkap," katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Muar.

“Bagaimanapun, tindakan perlu diambil tertangguh kerana PPAD Muar perlukan persetujuan bertulis pemilik kebun sawit untuk menggunakan tanah mereka," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment