Sunday 12 January 2014

Kes tembak 25 premis di Kota Kinabalu dilakukan anak muda bermasalah

Mohd Bakri Zinin
Mohd Bakri Zinin


JOHOR BAHRU - Pihak polis telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah bagi menyiasat secara terperinci kejadian menembak premis di sekitar Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menegaskan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan pengganas asing sebaliknya dilakukan oleh 'tangan-tangan nakal' kumpulan anak muda yang bermasalah.

"Belum ada sebarang tangkapan sehingga kini," katanya menjawab soalan pemberita pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.

Menurut beliau, tembakan dipercayai dilepaskan dengan menggunakan senapang angin.

Dalam kejadian yang bermula 11.45 malam itu, kira-kira 25 premis di sekitar bandar raya Kota Kinabalu mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan.

Ia melibatkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, sembilan di Luyang dan tiga bank di Inanam.

Polis menemui tiga biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment