Sunday 12 January 2014

Gelandangan cemar imej Dayabumi, Pasar Seni

Gelandangan cemar imej Dayabumi, Pasar Seni
Gelandangan di laluan pejalan kaki Pasar Seni ke Kompleks Dayabumi mencemarkan pandangan ibu kota.

KUALA LUMPUR - Merimaskan dan mencemarkan imej. Itu yang dapat digambarkan tentang suasana di laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kompleks Dayabumi ke Pasar Seni apabila ia dimonopoli golongan gelandangan.

Keadaan itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang ramai yang melalui laluan itu termasuk pelancong berikutan kawasan berkenaan antara destinasi pelancongan di ibu negara.

Pekerja swasta, Hamdan Jamil, 40, berkata, keadaan itu tidak boleh terus dibiarkan kerana ia akan memberi imej negatif kepada ibu negara.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan sepatutnya dapat digunakan orang ramai, namun apabila keadaan itu berlaku, ia telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang lain.

“Setiap kali saya lalu, terutamanya pada waktu pagi dan petang, tentu ada yang 'bersidai' di situ termasuk yang tidur di kerusi yang disediakan.

“Kita boleh nampak yang orang ramai kurang lalu di sini sebab mungkin rasa tak selesa," katanya.

Bagi kerani, Sofia Abdullah, 23, setiap kali dia ke kawasan itu, sebaik mungkin akan cuba mengelak daripada melalui laluan pejalan kaki tersebut.

“Sebagai wanita, memang saya rasa kurang selamat sebab kadangkala yang tidur di situ adalah penagih dadah,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Zainab Yunos, 45, berharap kawasan-kawasan laluan pejalan kaki terutamanya melibatkan kawasan tumpuan pelancong dielakkan menjadi ‘port’ golongan itu.

“Bukan setakat kehadiran mereka buat kita tak selesa, tetapi juga bau busuk di situ,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment