Sunday 12 January 2014

Bangkok bakal lumpuh esok



BANGKOK: Krisis politik Thailand akan memasuki fasa baru yang penuh gelora pada Isnin apabila kumpulan penunjuk perasan merancang untuk melumpuhkan kota Bangkok bertujuan menyekat pilihan raya yang dijadual diadakan pada 2 Februari ini.

Ini adalah tindakan terbaru dalam konflik berpanjangan antara penyokong dan penentang bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam pelarian selepas lebih tujuh tahun digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera.

Penunjuk perasaan memaklumkan mereka akan menyekat jalan-jalan utama bagi menghalang orang ramai daripada ke tempat kerja serta memotong bekalan tenaga ke beberapa bangunan utama pejabat kerajaan sehingga kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, adik kepada Thaksin, jatuh.

Sekolah-sekolah akan ditutup demi keselamatan pelajar manakala Kedutaaan Amerika Syarikat di Bangkok telah menasihati rakyatnya yang berada di sini supaya menyimpan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan untuk tempoh dua minggu.

Pihak berkuasa berkata ia sedia untuk mengisytiharkan perintah darurat sekiranya ada kekacauan baru dan telah mengerahkan kira-kira 20,000 anggota polis dan tentera untuk berkawal.

Ketika kemuncak tunjuk perasaan, kumpulan penentang kerajaan itu berjaya menarik penyertaan sehingga lebih 150,000 orang berhimpun untuk menggesa Yingluck letak jawatan dan menuduh kerajaannya terlibat dengan penyelewengan.

Lapan orang termasuk seorang anggota polis terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam keganasan jalanan sejak beberapa minggu lalu. Kerajaan bimbang kekacauan ini akan mengakibatkan lebih banyak pertumpahan darah.

"Inilah yang cuba mereka lakukan iaitu mencetuskan keganasan semasa (Bangkok) lumpuh," kata Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul kepada wartawan.
Yingluck mahu mengadakan pilihan raya pada 2 Februari ini lebih awal daripada mandat bertujuan menyelesaikan krisis. Kumpulan penentangnya yang gagal menang majoriti dalam tempoh dua dekad lalu bagaimanapun memulaukan pilihan raya tersebut sekaligus mencetuskan kebimbangan kebuntuan ini akan berlarutan.

Kumpulan penentang itu mendesak penubuhan sebuah "majlis rakyat" bagi mentadbir sementara negara dan memantau penambahbaikan sistem pilihan raya sebelum satu pilihan raya diadakan dalam tempoh antara setahun hingga 18 bulan.

Kumpulan Baju Merah yang menyokong kerajaan akan turut menganjurkan perarakan mereka di wilayah tengah dan utara Thailand bagi menggesa pilihan raya itu diteruskan. Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan akan berlaku pertembungan antara dua kumpulan yang bertelagah ini.

Di lokasi tunjuk perasaan dekat ibu pejabat kerajaan, bekas tentera menyertai tunjuk perasaan itu, Anan Jandontree menunjukkan kira-kira 1,000 jaket yang dilapisi dengan filem x-ray terpakai daripada hospital sebagai persediaan pertembungan itu.

"Kami akan berjuang mati-matian kerana kami sudah bersedia dan kami akan berjaya," katanya.

Thailand digoncang oleh pertumpahandarah sejak Thaksin digulingkan oleh jeneral tentera yang setia kepada raja.

Hartawan yang terjun ke dunia politik itu melarikan diri dari Thailand pada 2008 bagi mengelak hukuman penjara atas sabitan kesalahan rasuah yang beliau dakwa bermotifkan politik.

Beliau bagaimanapun kekal popular di wilayah utara negara itu dan parti Yingluck, Parti Puea Thai dijangka menang sekiranya pilihan raya diteruskan.

Adiknya berdepan tekanan daripada pelbagai pihak: ketua tentera yang enggan menolak kemungkinan berlaku rampasan kuasa manakala beberapa ahli parlimennya berdepan tindakan kerana usaha mahu perwakilan dewan senat dibuat secara pemilihan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh disekat daripada aktif berpolitik selama lima tahun.

"Saya tidak fikir pilihan raya itu akan berlangsung kerana institusi kehakiman tidak bersama kerajaan Yingluck," kata Paul Chambers, pengarah penyelidikan Institut Hal Ehwal Asia Tenggara di Universitu Chiang Mai.

Katanya, Yingluck mungkin akan berdepan dengan lebih banyak tindakan undang-undang berhubung rang undang-undang merombabak dewan senat serta tuduhan rasuah kerajaannya dalam skim subsidi beras.

"Keputusan-keputusan itu akan memberi legitimasi kepada penunjuk perasaan apabila mereka membuat kacau di serata Bangkok dan di wilayah selatan," kata Chambers.

Kekacauan ini adalah yang terburuk sejak 210 apabila lebih 90 orang terbunuh dalam pertempuran di jalanan antara penyokong Thaksin dan tentera.

Pasaran saham dan matawang baht jatuh merudum atas kebimbangan kekacauan terbaru itu akan menakutkan pelancong dan pelabur.

Melainkan krisis itu mula kendur dalam masa beberapa bulan akan datang, "kita harus menerima hakikat bahawa kedatangan pelancong akan merosot sehingga 50 peratus," kata Thanavath Phonvichai, pakar ekonomi di Universiti Dewan Perniagaan Thailand.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines telah membatalkan 19 penerbangan pergi balik dari Bangkok sehingga akhir Februari ini biarpun penunjuk perasan berjanji tidak mensasarkan lapangan terbang atau pengangkutan awam.

AFP, Januari 12

No comments:

Post a Comment