Wednesday 3 December 2014

Tiga lagi warga Malaysia ditahan disyaki terlibat aktiviti militan IS

KHALID: Penangkapan tersebut merupakan susulan siri operasi dari 27 hingga 28 November di Kuala Lumpur dan Kedah.

KUALA LUMPUR: Pihak polis telah menahan tiga lagi rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di Syria, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata.

Semua suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 36 tahun, telah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, kata Khalid dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Mereka kini ditangkap di bawah Bab VI A – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Khalid berkata, penangkapan tersebut merupakan susulan siri operasi dari 27 hingga 28 November di Kuala Lumpur dan Kedah.

"Seorang daripada suspek yang berusia 36 tahun telah menyertai kumpulan militan di Syria sejak 28 Disember 2013 dan kembali ke Malaysia pada 8 April 2014.

"Sementara dua lagi suspek yang berumur 23 dan 28 tahun berkhidmat dalam sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Kedua-dua kakitangan kerajaan tersebut disyaki terlibat dalam menyalurkan dana kepada beberapa rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria," ujarnya.

Pada 23 Oktober, tiga lelaki telah didakwa atas kesalahan cuba menunjukkan sokongan kepada militan IS.

Arkitek Mohd Syafrein Rasid, 26, dari Kuantan, Pahang; peniaga Mohd Rosmadi Che Daud, 42, dari Ipoh, Perak; dan jurutera Mohamad Yusoffe Ishak, 26, dari Arau, Perlis, telah ditahan ketika mereka cuba menaiki sebuah pesawat yang mahu berlepas ke Istanbul, Turki.

Pada Februari tahun lalu, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) , Yazid Sufaat; seorang surirumah, Halimah Hussein; dan Mohd Hilmi Hasim ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dua suspek itu yang berusia 30 dan 50-an, dipercayai menjadi dalang di sebalik perekrutan rakyat Malaysia dalam aktiviti berkaitan keganasan.

Malaysia melonjak ke tangga ke-48 dalam Indeks Keganasan Global 2014 dari kedudukan ke-91 ketika senarai itu mula diperkenalkan pada tahun 2012.

Laporan yang dikeluarkan Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) tersebut menyenaraikan negara-negara berdasarkan impak aktiviti pengganas selain menganalisa dimensi ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan keganasan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment