Wednesday, 3 December 2014

Fauziah & Zhafran masih mood bulan madu

Fauziah & Zhafran

SELEPAS setahun mendirikan rumah tangga, aktres cantik, Fauziah Gous mengakui masih berada dalam mood berbulan madu bersama suaminya, Md Zhafran Md Yusof.

Menurut pelakon Rindu Bertamu di Abu Dhabi ini, dia dan suaminya masih menjalani proses mengenali diri dan tidak terlalu merancang untuk menimang cahaya mata.

“Menjalani fasa bercinta selepas berkahwin amat berbeza. Setiap hari ada sahaja perkara baru yang kami lalui bersama.

“Kami lebih teruja menjalani fasa ini sehingga tidak sedar sudah lebih setahun kami bersama.

“Mengenai zuriat, saya dan suami tidak terlalu tergesa-gesa tapi jika ada rezeki, kami tidak tolak dan itu bukanlah tekanan buat saya. Saya lebih teruja untuk mengenali suami dengan lebih baik,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Fauziah memberitahu dirinya kini sibuk menguruskan perniagaan produk berasaskan sarang burung.

“Sebenarnya sudah lima bulan saya tidak terlibat dengan bidang lakonan kerana beri tumpuan pada bisnes sarang burung.

“Bagi saya tempoh lima bulan itu agak lama kerana sebelum ini jadual lakonan saya memang pernah tidak putus.

“Tapi tidak bermakna saya akan terus berhenti, jika ada tawaran yang bersesuaian, saya tidak tolak. Memandangkan masa yang saya ada sekarang agak terhad, saya terpaksa memilih tawaran lakonan yang diberikan kepada saya,” ujarnya mengakhiri perbualan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a comment