Wednesday 3 December 2014

Ronaldo, Messi dan Neuer disenarai pendek Pemain Terbaik Dunia



Ronaldo, Neuer dan Messi masing-masing memiliki rekod cemerlang untuk melayakkan mereka meraih anugerah Pemain Terbaik Dunia. 

PARIS: Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, yang sebelum ini pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia, kali ini berdepan pencabar baru dari penjaga gol dari Jerman, Manuel Neuer dalam senarai akhir yang diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Ronaldo, yang terkini menyandang gelaran itu dan pernah memenanginya pada tahun 2008, telah menjaringkan rekod 17 gol dalam kempen Liga Juara-Juara ketika Real Madrid membawa pulang Piala Eropah kali ke-10 penggal lalu.

Messi pula yang pernah memenangi anugerah itu sebanyak empat kali, gagal meraih gelaran tersebut ketika bersama Barcelona ataupun Argentina, walaupun menjadi tonggak utama dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

Dalam pertembungan yang berakhir dengan kekalahan kepada Jerman itu, pemain berusia 27 tahun tersebut dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Sementara itu, Neuer yang cemerlang menjaga gawang Jerman dan juga Bayern Munich, berpotensi menjadi penjaga gol kedua selepas Lev Yashin dari Kesatuan Soviet untuk menyandang gelaran Pemain Terbaik Dunia.

Pengumuman tersebut bakal dilakukan pada 12 Januari depan di Zurich.

Anugerah Jurulatih Terbaik pula bakal menyaksikan perebutan Joachim Loew dari Jerman, Carlo Ancelotti dari Real Madrid dan and Diego Simeone yang memimpin Atletico Madrid.

Bagi jaringan gol terbaik yang akan merebut anugerah Puskas, tiga calon yang tersenarai ialah James Rodriguez dari Colombia, penyerang Manchester United Robin van Persie dan pemain bola sepak wanita dari Ireland, Stephanie Roche. 

- Sumber: AFP 

No comments:

Post a Comment