Saturday 27 December 2014

Ridhuan Tee bawa politik ekstrem - Menteri Muda Sarawak

Menurut Daud, kehadiran pensyarah kanan Universiti Pertahanan itu (gambar) juga akan mengundang rasa takut dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

KUCHING: Susulan isu penceramah, Dr Ridhuan Tee Abdullah yang tidak dibenarkan memasuki negeri Sarawakuntuk mengadakan ceramah di Masjid Daerah Kecil Sematan sempena Program Jom Bersantai Sematan 2014-15.

Menurut laporan Borneo Post Online, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) negeri Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman berkata, halangan untuk Ridhuan memasuki negeri itu dibuat adalah kerana beliau membawa politik ekstrem.

Menurutnya, kehadiran pensyarah Universiti Pertahanan itu juga akan mengundang rasa takut dalam kalangan masyarakat bukan Islam selain dibimbangi merosakkan perpaduan masyarakat.

“Adalah lebih baik untuk kita (kerajaan negeri) tidak membenarkannya (Ridhuan Tee) masuk ke negeri ini.

“Ini kerana beliau membawa politik Semenanjung Malaysia yang ekstrem dan boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Jumaat.

Menurut Daud lagi, secara keseluruhannya perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Sarawak amat kukuh.

“Pada masa sama, kita juga tidak mahu umat Islam di negeri ini terpengaruh dengan ideologi yang dibawanya,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak, katanya, amat adil dalam perkara ini.

“Kita tidak kira mana-mana individu sama ada Islam atau bukan Islam. Jika menggugat perpaduan maka akan dihalang masuk ke negeri ini,” jelasnya.

Ini kerana, jelas Daud, kebanyakan individu yang tidak dibenarkan memasuki negeri ini mempunyai pandangan berbeza dan terlalu ekstrem.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Hamfatullah Syawal Hamdan pula berkata, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa negeri agar tidak membenarkan Ridhuan Tee masuk ke negeri ini.

“Keputusan untuk tidak membenarkan beliau (Ridhuan Tee) masuk adalah daripada pihak berkuasa negeri Sarawak,” kata Hamfatullah. 

- Sumber: Agensi

1 comment:

  1. ketika Ayatollah Khomeini diusir dari Iran, beliau tetap dapat membawa ideologinya ke dalam negara.... di zaman begini canggih, apakah yg dapat menghalang sebarang ideologi dari masuk ke Sarawak...? usaha tempatan lah yg dapat mengukuhkan perpaduan

    ReplyDelete