Saturday 27 December 2014

MP tak sertai lawatan Taiwan disyaki lompat parti

  • Dr Mohd Puad Zarkashi
  • Dr Mohd Puad Zarkashi

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli Parlimen (MP) BN yang tidak menyertai program Lawatan Sambil Belajar ke Taiwan anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) akan disyaki mahu melompat parti bagi membentuk kerajaan baharu pada 2008.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata program berkenaan diadakan beberapa hari sebelum 16 Sept 2008 bagi mengelak ahli Parlimen pembangkang menghubungi ahli Parlimen BN supaya melompat parti. 

Beliau bagimanapun bersetuju dengan cadangan peguam, Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa MP Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Anifah Aman (MP Kimanis), Khairy Jamaluddin (MP Rembau), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (MP Bagan Datoh), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (MP Johor Baharu) dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (MP Pulai) tidak mengikuti program itu.

"Keenam-enam ahli Parlimen itu tidak pernah disyaki akan melompat parti kerana suspek yang saya maksudkan ialah ahli BNBBC yang menjadi fokus kepada pihak pembangkang," katanya Mohd Puad, yang merupakan naib presiden BNBBC ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan Anwar terhadap Anifah, yang juga Menteri Luar berhubung kenyataan Anifah dalam sidang media di Washington pada Mei 2009.

Ketika ditanya Razlan adakah kesetiaan ahli BNBBC dipersoalkan jika mereka melompat parti, Mohd Puad berkata: "saya tidak mempersoalkan esetiaan mereka tetapi mereka yang dipengaruhi oleh ahli parti pembangkang". 

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Razlan bahawa beliau dan anggota BNBBC boleh menolak tawaran daripada pihak pembangkang jika dipengaruhi dan bahawa melompat parti bukan menjadi kesalahan undang-undang.

Mohd Puad berkata, ketika berada di Taiwan beliau dihubungi bekas setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, yang cuba memujuknya supaya meninggalkan BN dan menyertai parti pembangkang, namun pujukan itu tidak berjaya.

Katanya, beliau juga telah dihubungi oleh rakan Anwar iaitu Dr Abdul Rahim Ghouse yang turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya dan pertemuan itu turut dihadiri seorang lelaki bernama Azman Hussin.

Ketika disoal Razlan mengapa beliau bersetuju untuk berjumpa dengan Abdul Rahim dan Azman sedangkan telah menolak pelawaan Saifuddin ntuk menyertai parti pembangkang, Mohd Puad berkata, "mereka (parti pembangkang) tidak akan berjaya sebab itu saya bersetuju untuk berjumpa dan saya percaya 16 September tidak akan berlaku". 

"Saya tahu mereka (parti pembangkang) terdesak dan sebab itu saya nak tengok apa yang Abdul Rahim dan Azman akan ceritakan kepada saya," kata Mohd Puad. 

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya. 

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menetapkan 5 Januari ini untuk mendengar hujahan peguam yang mewakili Anifah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengemukakan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment