Friday 26 December 2014

Najib pulang esok bagi pantau perkembangan banjir

Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan orang ramai dan mendapatkan reaksi bagaimana cara mengatasi dan bentuk bantuan yang diperlukan.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan pulang ke tanah air Sabtu ini bagi memantau perkembangan banjir yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang tadi, sejurus tiba Perdana Menteri akan ke Kelantan untuk mempengerusikan mesyuarat dan mendapatkan taklimat dari Majlis Keselamatan Negara, MKN dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara.

Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan orang ramai dan mendapatkan reaksi bagaimana cara mengatasi dan bentuk bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir.

Memetik kenyataan seorang jurucakap kerajaan, semasa berada di luar negara, Najib telah diberikan taklimat mengenai situasi seharian bencana banjir.

“Beliau juga telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara untuk meningkatkan usaha mereka bagi membantu mereka yang terjejas oleh banjir .

“Ekoran laporan baru-baru ini bahawa situasi banjir telah bertambah buruk, Perdana Menteri merasakan ianya perlu untuk beliau kembali untuk memantau situasi itu,” katanya.

Najib pula, di dalam kenyataan yang sama berkata beliau sangat prihatin dengan keadaan banjir yang melanda .

“Saya bersimpati bagi mereka yang telah kehilangan rumah dan keluarga yang kehilangan orang yang tersayang.

"Ketika saya berada di luar negara, saya telah sentiasa berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negara, yang telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka sedang melakukan segala yang mereka boleh untuk membantu mereka yang terjejas.

“Tetapi saya mahu melihat keadaannya sendiri dan bersama-sama dengan orang ramai,” kata Najib. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment