Friday 26 December 2014

Lelaki rempuh sembilan kenderaan guna lori

Kereta penghuni Kuarters MPSJ yang mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah lori dipandu lelaki disyaki mabuk.

Kereta penghuni Kuarters MPSJ yang mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah lori dipandu lelaki disyaki mabuk.

PUCHONG – Gara-gara berlaku pertelingkahan keluarga, seorang lelaki bertindak merempuh sembilan kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta Kuarters Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu, lelaki tersebut dikatakan memandu sebuah lori dan masuk ke pangsapuri berkenaan untuk bertemu dengan isteri serta dua anaknya.

Sumber berkata, suspek marah dan mengesyaki isterinya yang dalam proses perceraian disembunyikan keluarga di kuarters terbabit.

Dia dipercayai datang ke pangsapuri tersebut dalam keadaan mabuk sebelum bertengkar dengan isterinya yang tinggal di situ.

“Selepas bertengkar, suspek terus pandu sebuah lori dipercayai dengan niat nak langgar kereta isteri dan abang iparnya, tapi rempuhan menyebabkan beberapa kenderaan lain turut rosak,” katanya.

Suspek kemudian merempuh palang automatik pondok keselamatan kuarters dan masuk kembali ke pangsapuri beberapa minit selepas itu.

“Dia sekali lagi merempuh kereta isterinya di depan mata anggota polis yang sudah berada di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan berkata, akibat kejadian itu, tujuh kereta dan dua motosikal yang dirempuh mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Punca kejadian yang mengejutkan ratusan penghuni blok kuarters pagi tadi (semalam) dipercayai kerana masalah keluarga dihadapi lelaki tersebut.

“Pemandu lori (bukan kakitangan MPSJ) berjaya ditahan polis yang tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment