Friday 26 December 2014

Johor mula dilanda banjir

Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua daerah di negeri berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari
ini.

Di JOHOR, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak 214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang, sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.

"Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata paras air di lokasi terjejas banjir semakin meningkat.

Di KELANTAN, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.

Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini melebihi 32,000 orang.

Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di 98 pusat pemindahan banjir di empat daerah.

Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang, diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu (272).

Besut merupakan daerah terbaharu pulih daripada banjir hari ini apabila baki 317 mangsa di dua pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Chukai ke Air Putih, Cheneh Mak Lagam dan Jalan Chukai Utama.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 35,736 orang dengan kebanyakan mereka di daerah Kuantan yang merekodkan sejumlah 19,924 mangsa, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,119 orang berbanding 5,530 mangsa pagi tadi, membabitkan tiga kawasan di Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah.

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir kini 2,914 orang, Kuala Kangsar (2,579) dan Hulu Perak (626).

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 96 berbanding 157 orang pagi tadi.

Penolong Setiausaha Tentera Majlis Keselamatan Negara Kedah, Mejar Mohd Radzi Abd Hamid berkata dua pusat pemindahan di daerah Padang Terap di Dewan Kampung Tanjung Piring dan Dewan Kampung Sungai Kap ditutup pada 9.55 pagi.

Dua lagi pusat pemindahan yang masih dibuka ialah Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau bagi daerah Padang Terap dan SK Sungai Kecil Ulu, Mukim Bagan Samak bagi daerah Bandar Baharu.

"Dua lagi pusat pemindahan dijangka ditutup dalam masa terdekat tetapi kami masih menunggu pengesahan daripada pejabat daerah terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.

Cuaca baik sejak awal pagi mungkin menjadi faktor utama banyak tempat yang dilanda banjir sejak semalam, beransur pulih.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment