Friday 5 December 2014

20 tahun hisap dadah

Haryati pernah terjebak dengan najis dadah selama 20 tahun.

Sukarelawan ini aktif membantu melancarkan lagi program pemberian jarum baru dalam kalangan penagih dadah.

GEORGETOWN - Pada awalnya hanya ingin mencuba, namun akhirnya membawa padah apabila dia mula bergelumang dengan najis dadah sejak berusia 19 tahun lagi.

Bekas penagih, Haryati Jonet, 39, berkata, pada mulanya dia hanya berjinak-jinak dengan rokok sebelum mula mencuba heroin dan pelbagai jenis dadah.

"Saya juga kerap keluar dan masuk penjara hanya kerana dadah.

"Namun saya bernasib baik apabila berjaya mengubah hidup dan menjauhkan diri dari dadah," katanya.

Menurutnya, kini sudah masuk lima tahun dia meninggalkan najis dadah.

"Pelbagai cara saya gunakan dan semangat itu perlu datang daripada diri sendiri.

"Kalau orang lain boleh, kenapa tidak saya?," katanya.

Dia yang berasal dari Selangor itu kini berkhidmat dengan Aids Action & Research (AARG) di Ipoh, Perak.

Walaupun tidak layak bergelar kaunselor, Haryati sering turun padang dan berkongsi kisah hidupnya bersama penagih dadah.

“Ada dalam kalangan mereka ini sudah berubah dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Apa yang penting kita perlu sentiasa memberi sokongan kepada mereka, bukannya mengetepikan terus. Apabila sokongan ada, barulah kita mampu menasihatkan mereka untuk berubah,” katanya.

Haryati ditemui ketika Simposium Remaja HIV/AIDS bersempena Ulang Tahun AARG ke-20 di Dewan Pembangunan Siswa Kompleks Cahaya Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Profesor Dr Ismail Baba; Konvenor AIDS AARG, Profesor Madya Dr Azlinda Azman dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr Nor Malina Malek.

Edar jarum baharu buat penagih

Pelbagai cara dilakukan bagi membantu penagih termasuklah melalui perkongsian jarum bagi mengelakkan jangkitan wabak HIV dan AIDS.

Pengurus Program Pertukaran Jarum (NSE) AARG USM, Mohamed Ferdaus Hussin berkata, program tersebut telah berjaya menurunkan trend penggunaan jarum yang sebelum ini mencecah 75 peratus pada 2006.

Kumpulan NSE dari Pulau Pinang ini turut menyasarkan beberapa lokasi panas penagih dadah termasuk di Air Itam, Paya Terubong, Padang Tembak dan Farlim.

Menurutnya, bukannya mudah mendidik masyarakat untuk menerima program sebegini.

“Memang ada yang salah faham sehingga mendakwa kami ingin mengajar orang menghisap dadah, sedangkan sebenarnya melalui program sebegini ia membantu mengurangkan perkongsian jarum yang mana boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kaedah yang kami gunakan adalah dengan menerangkan dulu apa bahaya dadah dan sebagainya, barulah langkah terakhir dengan memberi jarum kepada penagih dadah,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 1,000 jarum baru diberikan kepada penagih dadah seluruh Pulau Pinang.

Program tersebut menampakkan kesan positif berikutan trend perkongsian jarum semakin menurun.

Kini melalui penyelidikan antarabangsa mendapati wabak HIV dan AIDS meningkat akibat seks rambang.

AARG USM bantu penagih dadah

Sementara itu, Konvenor AARG USM, Profesor Madya Dr Azlinda Azman berkata, AARG USM sejak sekian lama memainkan peranan menyumbang kepada penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan HIV dan juga AIDS di negara ini.

Ia ditubuhkan pada 1994 dan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai wabak berkenaan.

Kumpulan ini juga menyediakan program-program dan latihan kepada masyarakat berhubung isu HIV dan AIDS.

Ahli-ahli AARG terdiri daripada kakitangan akademik dan juga bukan akademik yang mempunyai pengalaman dalam bidang kerja sosial, sosiologi, kesihatan awam, kaunseling dan undang-undang.

Melalui penyelidikan, pembelajaran dan latihan serta aktiviti tindakan sosial, kumpulan ini memberi sumbangan kepada usaha kerajaan dalam mengawal masalah HIV dan AIDS di Malaysia.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment