Friday 7 November 2014

Tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian



Banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Lembah Bertam, hanya satu permulaan kecil kepada bencana yang lebih besar - Gambar Shahir Omar

CAMERON HIGHLANDS: Hakikat tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian, dinafikan pihak yang tidak bertanggungjawab yang terus meneroka tanah secara haram untuk keuntungan dan merisikokan penduduk sekitar dengan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) Ramakrishnan Ramasamy memberi amaran tidak mustahil korban nyawa akibat banjir dan tanah runtuh akan meningkat gara-gara sikap pihak berkuasa yang menutup mata dan memekakkan telinga dengan penerokaan haram ini.

Banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Lembah Bertam, hanya satu permulaan kecil kepada bencana yang lebih besar.

"Tanah di Cameron Highlands tiada lagi yang sesuai untuk pertanian. Tanah yang sesuai untuk pertanian di bawah garis panduan Kementerian Pertanian adalah tanah di bawah 25 darjah (kecerunan), lebih tinggi dari itu memang tidak sesuai.

Ini kerana tanah di Cameron Highlands ini tidak cukup batu untuk kurangkan hakisan, pada masa ini paras hakisan adalah 200 tan sehektar setahun kalau berterusan TNB korek empangan pun tidak akan selesai," kata Ramakrishnan kepada Astro AWANI.

Aktiviti penerokaan berterusan khususnya di tanah rizab sungai menyumbang peningkatan sampah ke Empangan Sultan Abu Bakar.

Tinjauan Astro AWANI mendapati di Terowong Robinson, hampir kesemua tanah rizab di tepi tebing sungai, diteroka dengan aktiviti pertanian.

Di bawah garis panduan tertentu mengambil contoh kelebaran sungai 10 meter, kawasan 10 meter tebing kiri dan kanan adalah diwarta tanah rizab sungai, dan sebarang aktiviti tidak dibenarkan dilakukan di kawasan tersebut.

Namun malangnya hampir kesemua tanah rizab hanya tinggal sekangkang kera, kerana ketamakan pihak yang mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar.

Menurut Ramakrishnan, ada sesuatu yang tidak kena apabila tiada penguatkuasaan dilaksana terhadap penerokaan tanah haram yang berterusan ini .

"Penerokaan berterusan, tiada penguatkuasaan, wakil rakyat datang dan maklumkan akan ambil tindakan tetapi sehingga kini tiada apa yang berlaku.

Di Lembah Bertam kawasan khas untuk rizab sungai ada banyak penerokaan, di mana tindakan? Di mana penguatkuasaan?" ujar beliau.

Kebimbangan Ramakrishnan adalah apabila kealpaan pihak berkuasa ini akan menyumbang risiko lebih besar.

Beliau menegaskan banyak kampung terdedah kepada risiko empangan pecah akibat tidak dapat menampung kapasiti air dan sampah, yang akan mengorbankan nyawa yang lebih tinggi.

Dan apabila ia berlaku, apa jua tindakan disifatkan sudah terlambat. 

- Sumber:Astro Awani

No comments:

Post a Comment