Monday 24 November 2014

110 mangsa ditipu pakej pelancongan murah

SHAH ALAM - Teruja dengan tawaran pakej pelancongan murah ke Korea Selatan, seramai 110 pelanggan ditipu RM193,000 oleh sebuah agensi pelancongan yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Lebih teruk, ejen pelancongan dipercayai dikendalikan oleh sepasang suami isteri itu, turut memperdaya 110 pelanggannya agar menjelaskan bayaran keseluruhan sebanyak RM1,800 seorang jika mahu percutian selama enam hari di Incheon, Korea Selatan lancar tanpa sebarang masalah.

Salah seorang mangsa, Zarina Ali Din yang menjadi perantara rombongan berkenaan dikatakan sering berhubung dengan ejen berkenaan, Nurul (bukan nama sebenar), berusia 21 tahun.

Katanya, penerbangan mereka dijadual bermula 23 hingga 28 Mac lalu. Namun, percutian yang sepatutnya menjadi memori terindah, dikhabarkan perlu dibatalkan.

"Pesanan dibuat menerusi e-mel agensi. Melalui e-mel, Nurul mengatakan agensi tidak mahu mengambil risiko dan menggadai nyawa 110 pelanggannya sekiranya penerbangan mereka turut menerima nasib malang seperti MH370," katanya.

Menurutnya, jadual penerbangan kemudiannya diminta ditangguhkan ke Mac 2015, namun ahli rombongan tidak bersetuju dan mahu wang mereka dikembalikan.

Zarina percaya ejen berkenaan cuba memperdayakan mereka lalu mengambil keputusan menghubungi MAS.

"Saya terkejut apabila diberitahu pihak MAS bahawa nama kami tiada dalam senarai penumpang, sedangkan, menurut ejen, tiket penerbangan sudah ditempah. Alasan ejen, agensi yang menguruskan di Korea Selatan tidak boleh membuat tempahan
kerana bayaran tidak mencukupi," katanya.

Bimbang Nurul melarikan diri, Zarina berkata, surat akuan bersumpah dibuat pada 25 Mac lalu dan mengikut perjanjian, agensi pelancongan itu wajib menjelaskan RM193,000 dalam tempoh 30 hingga 60 hari.

“Sehingga kini, bukan sahaja wang, malah kelibat mereka gagal dikesan. Cawangan mereka di Kuala Lumpur, ditutup. Ibu pejabat di Kota Bharu, tidak lagi beroperasi,” katanya.

Marah dengan tindakan ejen yang cuba melarikan diri, Zarina bertindak membuat laporan polis pada 23 Mei lalu. Siasatan polis mendapati ejen itu tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment