Wednesday 29 October 2014

Permohonan ke sekolah berasrama penuh dibuka Disember



Permohonan kemasukan pelajar tingkatan empat ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2015 akan dibuka secara dalam talian bermula dari 1 hingga 30 Disember ini. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan pelajar tingkatan empat ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2015 akan dibuka secara dalam talian bermula dari 1 hingga 30 Disember ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, calon-calon yang memohon untuk masuk ke SBP boleh mula mengisi borang saringan pencapaian Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan Psikometri pada 1 Disember 2014.

Bagaimanapun katanya keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang sebenar boleh diisi bermula 22 Disember iaitu tarikh menerima keputusan PT3 2014 di sekolah masing-masing serta boleh menyemak status keputusan pemilihan dan penempatan selewat-lewatnya mulai 30 Jan 2015.

Menurut kenyataan itu antara kriteria kemasukan ke tingkatan empat SBP menerusi PT3 ialah memperoleh gred A bagi sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik (tidak termasuk mata pelajaran bahasa tambahan), serta memperoleh sekurang-kurangnya gred B bagi mata pelajaran lain.

Selain itu katanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris masing-masing ditaksir secara ujian bertulis dan ujian lisan.

Bagi kemasukan ke SBP 2015 aspek pemilihan meliputi status sosio-ekonomi keluarga dan lokasi sekolah asal murid, selain calon mestilah warganegara Malaysia dan bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.

Sehubungan itu calon-calon yang berjaya turut dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendaftar di SBP yang ditetapkan bermula 23 Februari 2015 dan bagi calon yang tidak berjaya boleh mengemukakan permohonan secara e-rayuan di laman web KPM www.moe.gov.my.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment