Wednesday 29 October 2014

Dua acara di Stadium Nasional tak boleh dibatal

DUA acara yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, tidak boleh dibatalkan kerana penganjur telah membuat tempahan dan pembayaran menggunakan lokasi berkenaan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata acara pertama melibatkan Perhimpunan Anak-Anak Sarawak Seluruh Malaysia yang dijadual dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem manakala satu lagi acara adalah perayaan keagamaan Buddha.

Selain dua acara berkenaan, perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Khairy berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya bertindak fleksibel dan mengadakan perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di lokasi lain bagi mengelak berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut. 

"Saya dimaklumkan oleh PSM bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perkara ini kerana ia sudah ditetapkan lebih awal oleh penganjur masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat post-mortem pencapaian kontinjen negara pada Sukan Asia 2014 di Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau mengulas mengenai jangkaan berlakunya kesesakan trafik yang teruk akibat pertembungan tiga acara berkenaan yang berlangsung pada lokasi dan tarikh yang sama. 

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihati menggunakan pengangkutan awam pada hari tersebut untuk mengelak kesesakan," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment