Wednesday 29 October 2014

'I am Liberian, not a virus'

Video kempen yang dimulakan oleh Shoana Solomon mendapat jumlah tontonan tinggi di internet.
Video kempen yang dimulakan oleh Shoana Solomon mendapat jumlah tontonan tinggi di internet.

NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Kempen “I am Liberian, not a virus” yang dimulakan oleh seorang wanita Liberia, Shoana Solomon dan tiga orang wanita lain lebih kurang dua minggu lalu dengan cepat menjadi viral di laman sosial.

Kempen tersebut bertujuan untuk menghentikan diskriminasi masyarakat terhadap imigran Liberia serta mereka yang datang daripada negara yang dijangkiti wabak Ebola, lapor al-Jazeera.

Wabak Ebola telah membunuh lebih daripada 2,700 orang di Liberia, menjadikan negara tersebut sebagai antara tiga negara Afrika Barat paling teruk dijangkiti wabak tersebut.

Wabak membunuh itu juga turut menyebabkan ramai imigran Liberia berhijrah ke negara yang lebih selamat termasuk ke Amerika Syarikat (AS).

Namun, golongan ini terpaksa berdepan stigma masyarakat yang menganggap mereka sebagai punca wabak tersebut.

Menurut Solomon, stigma ini disebabkan ketakutan masyarakat terhadap wabak, selain bersikap paranoid.

“Mereka seperti tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan kami atau sesiapa sahaja dari negara kami. Malah, ada yang menuduh kami membawa virus tersebut ke negara mereka," katanya.

Solomon bertindak memulakan kempen tersebut setelah anak perempuannya dituduh dijangkiti Ebola semasa hari pertama persekolahan hanya disebabkan anaknya merupakan warga Liberia.

Tambahnya, ramai kanak-kanak yang bukan berasal dari Liberia tetapi mempunyai ibu bapa warga Liberia turut menerima nasib yang sama.

Malahan, kata Solomon lagi, stigma ini berlaku di seluruh dunia termasuk di Afrika sendiri.

Dia melihat masyarakat perlu diberi pendidikan mengenai wabak ini supaya tidak terus menghukum warga Liberia dan rakyat daripada negara-negara dijangkiti. Malah sebagai ibu bapa juga, penting untuk mereka mendidik anak-anak supaya lebih jelas tentang wabak ini.

“Perkara sebegini sensitif kepada kanak-kanak. Jadi ibu bapa perlu peka apabila anak-anak mereka bercakap mengenai Ebola dan sebagainya.

"Ia memang wabak yang menakutkan, tapi kita perlu peka terhadap apa yang anak-anak dengar daripada kita,” katanya.

Selain itu, stigma ini dilihat berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang lebih memberi perhatian terhadap jumlah pesakit yang terbunuh disebabkan Ebola. 

Mereka lebih tertarik dengan berita-berita sebegitu tanpa memberi perhatian tentang bagaimana wabak tersebut boleh berjangkit.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment