Sunday 26 October 2014

Malaysia raih emas tunggal pada hari terakhir Grand Prix Fina 2014

Penerjun Negara, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee menunjukkan pingat emas yang dimenangi.

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara menamatkan cabaran pada hari terakhir Kejohanan Terjun Grand Prix Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2014 dengan kutipan satu emas di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee menyumbang emas tunggal itu menerusi acara 3m papan anjal seirama wanita dengan catatan 274.41 mata.

Seorang lagi gandingan negara, Jasmine Lai Pui Yee dan Kam Ling Kar meraih perak dengan pungutan 267.51 mata manakala wakil Amerika Syarikat, Deidre Freeman dan Maren Taylor sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatat 259.80 mata.

Nur Dhabitah yang kemudian bergandingan bersama Loh Zhiayi dalam acara 10m platform seirama wanita, hanya mampu menyumbang pingat gangsa selepas mengumpul 293.67 mata.

Gandingan dari China, Ji Siyu dan Si Yajie memenangi acara itu dengan catatan 332.70 mata manakala seorang lagi pasangan negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih perak dengan catatan 327.84 mata.

Penerjun elit negara, Ooi Tze Liang pula sekadar meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform individu lelaki menerusi kutipan 448.60 mata manakala seorang lagi wakil negara, Chew Yi Wei menduduki tangga kelima daripada enam peserta bersaing selepas mengumpul 397.35 mata.

Huo Liang meneruskan dominasi China selaku kuasa terjun dunia dengan kutipan pingat emas kedua untuk negara 'Tembok Besar' itu menerusi catatan 532.30 mata.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan pingat kepada para pemenang.

Nur Dhabitah yang ditemui pemberita selepas itu, mendedikasikan kemenangannya kepada ibu serta bapanya, Fazidah Jaafar dan Sabri Hashim yang turut hadir memberikan sokongan kepadanya.

"Saya bagaimanapun agak sedikit kecewa kerana gagal memungut jumlah mata yang agak baik dalam acara 3m papan anjal seirama itu kerana melakukan kesilapan pada pusingan awal terjunan," kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Sebanyak sembilan negara menyertai kejohanan kelolaan FINA sejak Jumaat lepas, iaitu Georgia, Cuba, China, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Australia, Colombia dan Malaysia selaku tuan rumah pusingan terakhir.

Kejohanan itu diadakan sebanyak lapan pusingan bermula di Madrid, Sepanyol pada Januari; Rostock, Jerman (Februari); Gatineau, Kanada; San Juan, Puerto Rico dan Guanajuato, Mexico (ketiga-ketiga pada Mei).

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment