Friday 31 October 2014

CEO Apple, Tim Cook bangga mengaku gay

Ketua Pegawai Eksekutif Apple itu mengatakan yang pengakuan ini adalah sebahagian daripada perjuangan peribadinya untuk membela golongan minoriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook bangga mengakui dirinya merupakan seorang homoseksual atau gay.

Cook yang membuat pengakuan itu pada Khamis berkata, dirinya sering memperjuangkan persamaan hak antara gender sama ada secara peribadi atau dalam perniagaannya.

Ketua rangkaian teknologi gergasi itu turut menyebut bahawa seksualitinya tidak pernah menjadi rahsia di syarikat itu dan mengakui mengenai perkara berkenaan adalah lebih penting daripada privasinya.

"Biar saya jelaskan saya bangga menjadi gay dan saya anggap menjadi gay adalah antara anugerah terhebat dari tuhan kepada saya" kata Cook dalam satu kenyataan di Bloomberg BusinessWeek.

"Saya bernasib baik kerana bekerja di sebuah syarikat yang mementingkan kreativiti dan inovasi serta menerima perbezaan antara setiap orang. Tidak semua orang bernasib baik" katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple itu mengatakan yang pengakuan ini adalah sebahagian daripada perjuangan peribadinya untuk membela golongan minoriti.

"Sebahagian daripada kemajuan sosial adalah dengan memahami bahawa seseorang itu tidak dihakimi berdasarkan hanya dengan seksualiti, bangsa atau jantina seseorang” katanya.

"Menjadi gay telah memberi saya pemahaman yang lebih mendalam bagaimana rasanya berada dalam cabaran yang dihadapi setiap hari. Kami akan terus memperjuangkan nilai-nilai etika dan saya percaya bahawa mana-mana Ketua Pegawai Eksekutif syarikat ini turut menerima sesiapa tanpa mengira bangsa, jantina atau orientasi seksual seseorang itu.

Dan saya sendiri akan terus melakukan advokasi untuk kesaksamaan untuk semua kaum sehingga akhir hayat” katanya lagi yang mengagumi ikon pejuang hak asasi manusia Martin Luther King dan Robert Kennedy.

Cook mengambil alih sebagai ketua Apple pada tahun 2011 selepas kematian Steve Jobs.

Beliau telah dikritik kerana tidak mempertahankan kemegahan Apple selepas kematian Jobs yang disebut peminat sebagai seorang yang berpandangan jauh.

Namun, sejak perlancaran iPhone 6 populariti Apple kembali melonjak.

Cook berkata menjadi gay hanya sebahagian daripada identitinya selain turut menggambarkan dirinya sebagai "seorang jurutera, seorang ‘pakcik’, pecinta alam dan ahli sukan.”

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment