Friday 31 October 2014

12 nelayan ditahan menangkap ikan di kawasan Zon A Pahang

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen menangkap ikan - Foto Fail

KEMAMAN: Tindakan sekumpulan nelayan tempatan Kelas B, yang mengambil jalan mudah dengan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, membawa padah selepas diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 8 Pahang, pada Rabu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 8 Kapten Maritim Mamu Said Alee berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, kesemua nelayan berusia lingkungan 30-an itu, yang menaiki tiga buah bot, didapati menceroboh kawasan menankap ikan Zon A, kurang lima batu nautika dari Sungai Miang, Pahang.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot kelas B itu, pihaknya mendapati mereka sedang menangkap ikan di pesisir pantai itu.

"Menyedari kehadiran kami, ketiga-tiga bot itu cuba melarikan diri dan kami terpaksa mengejar mereka kira-kira tiga jam sebelum semuanya diberkas," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen menangkap ikan.

Mamu Said berkata aktiviti pencerobohan bot nelayan Kelas B dan C akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

Bagi mengekang kegiatan itu, APMM meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan perairan Zon Maritim Malaysia khususnya dari kawasan Kuantan hingga ke Rompin, katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi pusat operasi DM8 di talian 09-5717345 untuk aduan kesalahan di laut.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment