Thursday 18 September 2014

Tatacara standard peperiksaan awam di Malaysia terlalu longgar

Khoo Kay Kim minta kerajaan mewujudkan sistem SOP peperiksaan yang baharu. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Sistem di Malaysia sekarang terlampau longgar dan perlu dikaji semula untuk menjamin tidak berlaku lagi masalah kertas ujian bocor seperti yang terjadi baru-baru ini.

Demikian menurut tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan awam di negara.

Katanya semasa peperiksaan awam dikendalikan oleh Cambridge suatu ketika dulu, perkara seperti ini tidak pernah berlaku.

"Bagi saya, bukan sahaja bagaimana sistem itu diwujudkan, tetapi bagaimana sistem itu dijalankan.

"Kita dulu di semasa bawah sindiket yang dikendali Cambridge, tidak pernah jadi begini," kata Prof Khoo ketika dihubungiAstro AWANI.

Jelasnya meskipun ramai yang terlibat dalam membuat kertas-kertas ujian tersebut, ia masih dapat dikawal baik oleh pihak Cambridge.

Selain itu, Prof Khoo juga menggesa supaya kerajaan mewujudkan suatu sistem yang baharu yang dapat menjamin supaya masalah kebocoran soalan kertas ujian tidak lagi terjadi.

Katanya pihak Kementerian juga perlu memilih kakitangan-kakitangan yang lebih berintegriti.

"Kalau dulu, pegawai perkhidmatan awam sangat takut untuk buat silap. Mereka amat berhati-hati, tetapi sekarang sudah terlampau longgar dan ia perlu dikaji semula," katanya lagi.

Semalam, satu Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian Lembaga Peperiksaan bagi mengkaji semula SOP ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi sebagai ketua bagi panel tersebut.

Susulan kes itu, kerajaan telah menggantung tugas Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.

Pihak polis turut menahan reman empat lelaki termasuk seorang guru besar dan dua guru bagi membantu siasatan kes itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memaklumkan, jawatankuasa bebas itu diberi masa tiga bulan untuk menambah baik operasi LPM dan proses peperiksaan awam di negara ini.

-- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment