Thursday 18 September 2014

Kelebihan Mike Tompkins

Tompkins

ISTIMEWA! Begitulah kesimpulan yang dapat penulis buat mengenai Bintang YouTube pilihan Zass kali ini, Mike Tompkins.

Jejaka berusia 27 tahun ini berasal dari Ilderton, Kanada merupakan seorang jurutera bunyi, penggubah muzik, dan penyanyi.

Menariknya mengenai Tompkins, sejak berusia 8 tahun lagi, dia sudah mula pandai bermain beatbox iaitu salah satu bentuk seni yang memfokuskan diri dalam menghasilkan bunyi-bunyi ritma dan memukul dram, instrumen muzik, mahupun meniru dari bunyi-bunyian lain menerusi mulut, lidah, bibir, dan rongga mulut.

Dek kerana kelebihan yang dimilikinya, Tompkins gemar menyanyikan lagu-lagu popular dengan diiringi muzik acapella yang dilakukan sendiri oleh suara dan mulutnya.

Kelebihan itu menyebabkan Tompkins menjadi perhatian dan pilihan penggemar laman YouTube untuk mengikuti perkembangannya.

Maka tidak hairanlah apabila lebih 1.2 juta menjadi pengikut Tompkins dan videonya sudah ditonton lebih 187 juta kali. Malah dia juga menjadi antara 60 individu yang sering diikuti oleh pengunjung YouTube.

Antara video cover muzik yang paling ramai dilihat adalah lagu Teenage Dream & Just The Way You Are nyayian asal Katy Perry dan Bruno Mars yang sudah ditonton lebih 24 juta kali.

Mendapat pendidikan di Ontario Institute of Audio Recording Teknologi, Tompkins kini berkolaborasi dengan produser dan penulis Timbaland.

Menurut Tompkins, tujuannya berkongsi video nyanyian dengan khalayak adalah kerana inginkan muzik menjadi penyatuan antara dia dan orang lain.

"Muzik adalah satu pengaruh yang besar, kerana muzik anda akan melihat orang tersenyum dan menangis. Tapi saya mahu orang tersenyum melihat hasil muzik saya.

"Saya mahu buktikan muzik bukan sahaja boleh lahir dari peralatan muzik, tetapi diri kita sendiri," katanya.


Kelainan klip video

Menurut Tompkins, muzik sudah menjadi sebahagian dari hidupnya sejak kecil lagi, dan dia sangat teruja dengan respons dari pengikutnya setiap kali dia menghasilkan muzik video baru.

"Ketika mula membuka saluran Mike Tompkins di YouTube, saya sasarkan akan mempunyai kira-kira 50,000 pengikut. Namun dengan jumlah yang saya miliki sekarang, saya rasa sangat terharu kerana mereka memilih untuk subscribe saluran saya," katanya.

Pada pandangan penulis, kelainan klip video Tompkins iaitu melalui suntingan yang baik, termasuk menunjukkan bagaimana dia menghasilkan sesebuah muzik dan kemudian dicantumkan menjadi sebuah klip muzik video adalah sesuatu yang jarang ditemui.

Tambah Tompkins, dia mengambil masa empat hingga enam hari untuk menyiapkan sesebuah klip muzik video acapellanya sebelum dikongsikan ke salurannya.

"Antara muzik video yang paling saya gemari adalah lagu Paradise dan All Night Long kerana kedua-dua lagu itu adalah kisah bagaimana saya mula bekerja dan sedang bekerja," katanya.

--Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment