Monday, 1 September 2014

Marina Putrajaya destinasi pelancongan menarik

Marina Putrajaya destinasi pelancongan menarik

PUTRAJAYA - Marina Putrajaya di Presint 5 akan menjadi satu lagi lokasi menarik untuk dikunjungi, khususnya bagi peminat sukan dan rekreasi, kata Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.

Beliau berkata Marina Putrajaya, yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Maritim, menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf lima bintang dan boleh menjadi destinasi popular untuk beriadah.

"Kita harus menjadikan Putrajaya ini sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara," katanya semasa merasmikan Marina Putrajaya dan sambutan ulang tahun ke-11 Cruise Tasik Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn Bhd Zaharah Selamat berkata sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan air, ia menjalin kerjasama dengan beberapa persatuan sukan air untuk mengadakan aktiviti di kawasan berkenaan.

"Kita juga mengalu-alukan lebih banyak persatuan sertai kita demi memeriahkan lagi sukan air di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaharah juga berkata Marina Putrajaya menyediakan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi seperti kanu, kayak, perahu naga, perahu panjang, jet ski dan 'fly board'.

"Kita juga menyediakan kolam mandi berbumbung, mandian stim dan sauna, karaoke, snuker dan pool, gelanggang skuasy, dewan bankuet dan bilik mesyuarat selain lokasi untuk aktiviti pembinaan pasukan dan majlis perkahwinan berkonsepkan dalam taman," katanya.

Selain itu, beliau berkata 'Musical Water Fountain' yang mula beroperasi sejak Jun lepas dan 'Mini Wild Wet Park' yang dijangka dibuka hujung tahun ini, merupakan antara tarikan pengunjung ke sini. 

--Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment